Inari mampu raih peluang pertumbuhan dan kepelbagaian di China, kata CGS-CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inari mampu raih peluang pertumbuhan dan kepelbagaian di China, kata CGS-CIMB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Jan - CGS-CIMB Research menjangkakan frekuensi radio (RF) kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan Inari Amertron Bhd. pada 2023 didorong proses nilai tambah baharu dalam telefon pintar generasi baharu.

 

Malah, firma itu juga melihat peluang pertumbuhan dan kepelbagaian yang menarik di China apabila kilang Yiwu Semiconductor International Corp. (YSIC) dijangka siap menjelang separuh kedua 2023.

 

Ini mendorongnya mengulangi saranan 'tambah' terhadap Inari dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3 sesaham. 
 

 

Menurutnya, kumpulan itu kekal optimis dengan berhati-hati terhadap prospek pertumbuhannya pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) dan seterusnya, didorong pertumbuhan nilai kandungan RF berikutan pengembangan rangkaian 5G di seluruh dunia.

 

"Walaupun kami menjangkakan Inari akan merekodkan penggunaan bahagian RF suku ke suku yang lebih tinggi pada suku keempat 2022 berikutan pelancaran telefon pintar generasi baharu, tetapi tidak menjangkakan peningkatan margin suku ke suku.

 

"Ini disebabkan perubahan dalam campuran jualan antara cip RF generasi baru dan lebih lama, terutama disebabkan kesan penutupan China pada suku berkenaan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pembinaan kilang milik anak syarikat 54.5% Inari, YSIC dijangka siap pada suku ketiga 2023, dengan barisan pengeluaran awal bermula pada suku keempat.

 

YSIC akan terlibat terutamanya dalam perkhidmatan pemasangan dan ujian, termasuk pemasangan pakej sistem, untuk pasaran China.

 

CGS-CIMB menjangkakan YSIC akan menyumbang sehingga 1 bilion yuan (RM650 juta) apabila loji Yiwu beroperasi sepenuhnya.

 

"Untuk imbasan, Inari akan menyumbang 100% sahamnya dalam Amertron Technology Kunshan bernilai 491 juta yuan (RM316.6 juta) dan pelaburan baharu sebanyak 430 juta yuan (RM277.2 juta) untuk 54.5% kepentingan dalam YSIC,” jelasnya. 

 

Mengulas mengenai laporan baru-baru ini, firma itu berkata, walaupun Apple berjaya mereka bentuk cip RF dalaman, ia masih memerlukan beberapa tahun untuk mendapatkan pembekal alternatif untuk mengendalikan jumlah pembuat telefon pintar Amerika Syarikat (AS) kerana wafer RF ini dibuat pada wafer fabrikasi yang khusus. 

 

Bloomberg semalam melaporkan, Apple merancang untuk menggantikan cip WiFi dan Bluetooth Broadcom dengan cip reka bentuk dalaman pada 2025.

 

"Secara keseluruhan, kami percaya prospek pertumbuhan bahagian RF Inari adalah utuh kerana semakan kami menunjukkan kumpulan sedang mengusahakan teknologi proses baharu untuk menyokong model telefon pintar generasi baharu," katanya.

 

Setakat 11.08 pagi ini, harga sahamnya menokok 2 sen atau 0.75% kepada RM2.67 dengan 1.58 juta saham diniagakan. -DagangNews.com