KUALA LUMPUR 30 Mei - I-Bhd. kembali mencatat keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berjumlah RM1.44 juta daripada kerugian bersih RM4.54 juta yang dialaminya pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh itu, hasil juga meningkat 38.6% kepada RM18.25 juta berbanding RM13.17 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan daya tahan dan kepantasan kumpulan beralih daripada penularan COVID-19.
Pada suku berkenaan, sejajar dengan pembukaan semula Taman Rekreasi i-City, segmen rekreasi menunjukkan pemulihan positif yang berterusan, memandangkan keyakinan pengunjung semakin meningkat untuk menyertai aktiviti luar.
Sehubungan itu, ditambah dengan usaha aktif kerajaan untuk memberi insentif kepada perbelanjaan dengan menjadikan fasa endemik sebagai kebiasaan baharu, segmen tersebut mencapai peningkatan hasil iaitu 2.7 kali lebih tinggi daripada tahun lepas.
"Selain itu, segmen hartanah kekal menjadi fokus utama dan penyumbang teras kumpulan, memandangkan pasaran hartanag dijangka berdepan pemulihan yang progresif apabila pengguna mula membina semula komitmen pembiayaan mereka.
"Oleh itu, kumpulan optimis segmen ini akan terus menyaksikan permintaan yang kukuh dan menjana lebih banyak jualan menerusi projek pembangunan terkini, BeCentral, yang dianggarkan memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) RM700 juta di Finance Avenue, i-City," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Finance Avenue akan menjadi pemangkin seterusnya dalam membentuk landasan pelancaran yang sempurna untuk meningkatkan syarikat mengalami pertumbuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Kami menjangkakan Finance Avenue juga akan menarik bukan sahaja institusi kewangan untuk menubuhkan pejabat di i-City, tetapi ia juga menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan kami dalam meningkatkan i-City ke tahap yang lebih tinggi dengan memperkenalkan cara baharu untuk komunitinya," tambahnya.
Kumpulan itu berkata, segmen pelaburan hartanah juga bersedia untuk menyaksikan pertumbuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada masa hadapan.
Katanya, syarikat memberi tumpuan untuk mengekstrak nilai penuh daripada perkembangan pesatnya sebagai ultrapolis induk bersepadu terancang untuk menawarkan peluang perniagaan dan pelaburan baharu kepada pelabur asing dan tempatan.
"Di samping itu, dengan jangkaan pembukaan DoubleTree by Hilton Hotel pada separuh kedua 2022, sebagai sebahagian daripada pembangunan bersepadu dalam Finance Avenue akan mentakrifkan semula pengalaman mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran," tambahnya.
I-Bhd. yakin pembukaan semula ekonomi akan membantu ketiga-tiga segmen perniagannya menyumbang kepada syarikat.
"Dengan momentum yang memberangsangkan dan ditambah dengan pemangkin kebangkitan yang didorong oleh Finance Avenue, kumpulan selangkah lebih dekat dalam mencapai matlamat utamanya menjadi destinasi pilihan bagi konglomerat, tempatan dan antarabangsa," katanya. - DagangNews.com








