KUALA LUMPUR 19 Dis - Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, JJ-LAPP (M) Sdn Bhd dan Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) menjalin kerjasama bagi membangunkan bakat ekosistem untuk meningkatkan produk JJ-LAPP dan sistem solar fotovoltaik (PV) Huawei serta meningkatkan tenaga kerja mahir di Malaysia.
MoU itu akan menyaksikan ketiga-tiga pihak bekerjasama untuk melancarkan program latihan, dengan SHRDC akan menjadi saluran mampan untuk menyediakan kemudahan latihan dan program pemudahcaraan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pelajar dan industri.
Terdahulu, MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif SHRDC, Teh Sook Ling; Pengurus Besar JJ-LAPP, Chang Chee Keong dan Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Kuasa Digital Huawei Malaysia, Chong Chern Peng.
Teh berkata, ia akan menjadi nilai tambah yang bermakna kepada organisasi kerana mereka juga komited dalam membina bakat tenaga hijau serba boleh yang mana matlamat neutraliti karbon boleh direalisasikan.
Chang pula berkata, syarikat komited untuk menyediakan sumber dan sokongan untuk mencapai matlamat dan misi program latihan.
“Ia telah menjadi misi bersama JJ-LAPP, Huawei dan SHRDC untuk memastikan perkongsian pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan ke arah merealisasikan aspirasi kerjasama kami," katanya.
Chong berkata, pasaran tenaga suria akan terus berkembang di Malaysia dengan penyelesaian PV Pintar Huawei yang kini diterima pakai secara meluas dalam industri.

“Memupuk bakat baharu melalui pembelajaran praktikal menggunakan teknologi terkini oleh Huawei dan JJ-LAPP akan membantu mengukuhkan kumpulan bakat industri tenaga suria untuk maju ke arah mewujudkan persekitaran tenaga dan memenuhi matlamat misi karbon sifar," katanya.
Tambahnya, kerjasama dengan SHRDC dan JJ-LAPP akan mempergiatkan lagi usaha pembangunan kemahiran dalam melahirkan bakat dalam bidang tenaga hijau untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan memupuk minat bakat muda.
"Ini juga akan membantu untuk merangka pembangunan dasar yang lebih baik di seluruh industri dan memimpin ke arah masa depan yang lebih baik dan lebih hijau untuk semua," katanya. - DagangNews.com








