KUALA LUMPUR 5 Ogos - Usaha sama antara HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI) dan HSS Engineering Sdn Bhd (HSSE) telah dilantik sebagai penyedia perkhidmatan perunding pengurusan projek (PMC) Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) bernilai RM997.9 juta.
HSSI adalah syarikat bersekutu HSS Engineers Bhd. (HEB) manakala HSSE adalah anak syarikat milik penuh HEB.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, HEB berkata, kontrak tersebut berkuat kuasa mulai 4 Ogos 2022 untuk tempoh 11 tahun.
Katanya, ia telah menerima surat setuju terima daripada MRT Lingkaran Sdn Bhd pada Khamis.
"Peranan syarikat usaha itu itu adalah bagi menguruskan penyampaian projek yang direka bentuk sepenuhnya, diperoleh, dibina dan bersepadu kepada MRT Lingkaran.
“Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 hingga 31 Disember 2033,” katanya.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, proses tender terbuka untuk projek MRT3 berada pada landasan yang betul dan berjalan dengan lancar.
Pelaksanaan Projek Laluan Bulatan MRT3 akan menyaksikan pelantikan bagi lima pakej utama terdiri daripada satu perunding pengurusan projek (PMC), tiga kontraktor utama sivil (CMC) dan siap guna kontraktor satu sistem.
Selain membantu MRT Corp, beliau juga mengharapkan PMC memenuhi keperluan kontraktor pakej kerja sivil dan sistem supaya boleh bekerjasama dengan berkesan untuk melaksanakan projek tersebut. - DagangNews.com








