HSBC jangka BNM naikkan OPR 100 mata asas antara 2022-2023 | DagangNews Skip to main content

HSBC jangka BNM naikkan OPR 100 mata asas antara 2022-2023

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Jan -  Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 100 mata asas antara 2022 dan 2023 dengan menjangkakan pasaran buruh Malaysia yang lebih kukuh dan inflasi yang lebih tinggi memandangkan Asia dilihat mencatatkan permintaan domestik lebih kukuh apabila ekonomi dunia pulih daripada kesan sekatan pergerakan yang didorong oleh COVID-19. 

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena HSBC Asian Outlook 2022, HSBC berkata, apabila pasaran buruh Malaysia semakin kukuh, inflasi teras negara, seperti yang diukur oleh indeks harga pengguna (IHP), mungkin meningkat secara beransur-ansur kepada 2% penghujung 2022.

 

Justeru katanya, ini akan membolehkan BNM memulakan proses pengetatan monetari secara beransur-ansur pada separuh kedua 2022. 

 

"Kami percaya ekonomi Malaysia merupakan antara yang memiliki prospek lebih cerah di rantau ini. Kami menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat kepada 3.6% pada 2021, sebelum meningkat kepada 5.6% pada 2022.

 

"Malaysia mempunyai kadar vaksinasi COVID-19 tertinggi di Asia, membolehkan tahap daya tahan yang tinggi. Walaupun sekatan mungkin dikenakan semula, kami percaya kerajaan mungkin akan memilih langkah yang lebih disasarkan berbanding sebelum ini.

 

"Sekatan itu nampaknya telah mewujudkan tunggakan yang besar yang kami percaya akan memacu pertumbuhan eksport Malaysia dengan baik sehingga 2022. Walaupun pertumbuhan eksport mungkin perlahan mulai 2021, ini mungkin akan berlaku pada kadar yang jauh lebih beransur-ansur berbanding dengan ekonomi serantau yang lain, "katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM semasa mesyuarat akhir 2021 pada 3 November 2021 memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 1.75% selepas mengambil kira risiko terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal menurun berikutan faktor luaran dan domestik di tengah-tengah kebimbangan pandemik yang berlarutan dan kerana bank pusat itu menjangkakan inflasi negara kekal sederhana. 

 

OPR pada 1.75% adalah yang paling rendah dalam rekod, menurut data BNM, yang bermula sejak 2004 di laman web bank pusat itu. 

 

OPR telah dikekalkan pada 1.75% sejak 7 Julai 2020, apabila BNM mengurangkan kadar daripada 2%, menurut BNM. 

 

Bagi 2020, ekonomi Malaysia, seperti yang diukur oleh KDNK, menguncup 5.6%, kata BNM. -DagangNews.com