Honda City Hatchback RS e:HEV dijual pada harga RM107,783.09 | DagangNews Skip to main content

Honda City Hatchback RS e:HEV dijual pada harga RM107,783.09

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Feb - Honda Malaysia hari ini menetapkan harga jualan sebanyak RM107,783.09 bagi model Honda City Hatchback varian RS e:HEV iaitu model hatchback pertama bagi model City serba baharu itu. 

 

Pengarah Urusan Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, sejak mula dilancarkan pada Disember 2021, pihaknya menerima sambutan yang sangat baik dan sehingga kini sudah mendapat lebih 5,200 tempahan untuk model itu.

 

"Kami yakin model Honda City Hatchback RS e:HEV akan menjadi penanda aras baharu di dalam pasaran selepas hadir dengan pakej lengkap hiasan luaran RS, e:HEV powertrain, Honda sensing dan sistem pemantauan yang canggih.

 

"Ia akan menjadi tarikan baharu kepada pelanggan yang lebih muda," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Honda City Hatchback model RS e:HEV  varian RS hadir dengan kemasan hitam berkilat pada gril, Solid Wing dan perumah cermin sisi berwarna hitam, perumah lampu kabus dan bampar belakang selain dilengkapi dengan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, spoiler belakang, lambu belakang LED dan rim aloi 16 inci.

 

Ruang dalaman, RS e:HEV mendapat tempat duduk Ultrasuede dengan jahitan merah, paparan kluster meter TFT berukuran tujuh inci dan corong pendingin hawa belakang dengan paparan audio berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, panel pendingin hawa automatik serta dua port USB adalah standard pada tiga varian teratas.

 

honda

 

Ia turut menawarkan Ultra Seats dengan empat konfigurasi iaitu Utility, Long, Tall dan Refresh untuk kegunaan yang berbeza dan kapasiti but pula adalah seluas 289 liter.

 

Sistem Honda Sensing turut disediakan dan ia merangkumi Adaptive Cruise Control, Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning, Lane Keep Assist System, Road Departure Mitigation, Lane Departure Warning dan Auto High Beam.

 

honda

 

Model Honda City Hatchback varian RS e:HEV didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Ignite Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic and Platinum White Pearl.

 

Orang ramai yang berminat untuk memandu uji model berkenaan boleh berkunjung ke 102 cawangan pengedar sah Honda di seluruh negara atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my atau muat turun aplikasi HondaTouch. - DagangNews.com