KUALA LUMPUR 19 Julai - Southern Cable Group Bhd. dijangka merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang kukuh dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 29% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) hingga FY24.
Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Sam Jun Kit berkata, margin syarikat pengeluar kabel itu juga dijangka pulih secara berperingkat-peringkat di sebalik berdepan kos input yang lebih tinggi daripada bahan berasaskan logam seperti tembaga dan aluminium, dan bahan bukan berasaskan logam termasuk plastik dan kayu bergergaji.
Ini berikutan penyambungan semula projek perindustrian, pembinaan dan infrastruktur, pelarasan harga, portfolio produk yang dipertingkatkan dan prospek jualan eksport yang berkembang pesat (menyasarkan 20% daripada perolehan menjelang FY25 berbanding 7% pada FY20).
"Kami juga melihat kumpulan bersedia untuk memanfaatkan permintaan elektrik yang lebih tinggi berikutan peralihan Malaysia ke fasa endemik.
"Pada suku pertama FY22, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menyaksikan pertumbuhan permintaan elektrik pada 4% tahun ke tahun (bagi Semenanjung Malaysia), dan menjangkakan pertumbuhan setahun penuh sebanyak 1.7% pada 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Southern Cable terima LOA daripada TNB bekal kabel, konduktor bawah tanah bernilai RM293.8 juta
Semalam, Southern Cable menerusi anak syarikatnya, Southern Cable Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LOA) daripada TNB untuk membekalkan kabel dan konduktor bawah tanah bernilai RM293.8 juta.
Kontrak terbesar yang diraih kumpulan itu memerlukan Southern Cable menghantar kabel bawah tanah dan konduktor voltan rendah dan sederhana ke Bahagian Rangkaian Pengedaran TNB untuk tempoh setahun bermula Julai 2022 dengan pilihan lanjutan kontrak selama setahun.
Sebelum ini, kumpulan itu pernah meraih LOA yang sama daripada TNB sejak 2019.
Menurut Jun Kit, permintaan untuk kabel tenaga daripada sektor swasta juga telah meningkat yang menyaksikan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh sebanyak RM788.8 bilion pada FY21 dengan pembuatan (42% daripada FDI) menjadi penyumbang utama.
"Permintaan untuk kabel tenaga ini khususnya datang daripada hab perindustrian di Batu Kawan dan Kulim Hi-Tech.
"Menambah perolehan kontrak daripada TNB (bernilai RM293.8 juta), ia memberi nilai kontrak semasa dalam tangan sebanyak RM816.3 juta, mencerminkan perlindungan sebanyak 1.23 kali," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, strategi kumpulan untuk meneroka pasaran luar negara seperti Myanmar (yang merancang untuk mencapai 100% kadar elektrifikasi dalam tempoh 8 tahun), akan meningkatkan lagi hasil kumpulan bagi FY21 hingga FY24.
"Kumpulan juga sedang berusaha untuk menembusi pasaran Amerika Ssyarikat (AS) melalui perjanjian pengedaran dengan pelanggan yang berpangkalan di negara itu (disasarkan pada suku ketiga FY22) untuk kabel industri XHHW-2 yang dibangunkan secara dalaman, dengan memperoleh margin yang lebih baik," jelasnya.
Melihat kepada prospek cerah Southern Cable, HLIB memberi nilai wajar sebanyak 42 sen, mengaitkan 17.6 kali nilain perusahaan (PE) FY23 (purata mudah penilaian global dan tempatan) kepada pendapatan sesaham (EPS) FY23 sebanyak 2.4 sen.
Setakat 9.40 pagi, harga sahamnya menokok 1.5 sen atau 4.23% kepada 37 sen dengan 2.57 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








