HLIB semak turun harga minyak mentah Brent kepada AS$85-AS$90 setong pada 2023  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB semak turun harga minyak mentah Brent kepada AS$85-AS$90 setong pada 2023 

Persekitaran makroekonomi lemah dan bekalan yang mencukupi telah menurunkan kira-kira AS$15 setong. - Gambar : Zbynek Burival/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Dis - Harga minyak dijangka kekal mendatar pada separuh pertama 2023 memandangkan permintaan dan bekalan berada dalam keadaan yang sama beberapa bulan akan datang. 

 

Ini mendorong Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun harga minyak mentah Brent kepada AS$85 hingga AS$90 setong pada 2023 daripada AS$93 hingga AS$98 setong.

 

Menurutnya, persekitaran makroekonomi lemah dan bekalan yang mencukupi telah menurunkan kira-kira AS$15 setong daripada penanda aras harga minyak mentah pada November 2022.

 

Berdasarkan kajiannya daripada penerbitan laporan membabitkan pelbagai organisasi seperti Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), HLIB menjangkakan permintaan dan bekalan minyak global berada dalam keadaan yang sama sekitar 100 hingga 102 juta tong pada separuh pertama 2023.

 

"Bagaimanapun, kami menekankan permintaan minyak mentah global akan menyaksikan peningkatkan apabila China mula membuka semula ekonominya pada tahun hadapan. 

 

"EIA meramalkan inventori minyak global akan jatuh sebanyak 200,000 tong (agak minimum) pada separuh pertama sebelum meningkat hampir 700,000 tong pada separuh kedua," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut IEA, penjualan itu berlaku di sebalik pengeluaran OPEC dan sekutunya (OPEC+) lebih rendah, sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak mentah Rusia berkuat kuasa sepenuhnya dan kelonggaran sekatan COVID-19 di China yang boleh membuka jalan kepada pemulihan permintaan lebih cepat.

 

Walaupun kelembapan bermusim dalam permintaan minyak dunia dan tekanan makroekonomi yang berterusan, data penggunaan minyak baru-baru ini menunjukkan peningkatan mengejutkan - yang amat ketara di Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) termasuk China, India dan Asia Barat.

 

Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) dengan pilihan utamanya ialah Bumi Armada Bhd., Dayang Enterprise Holdings Bhd., Velesto Energy Bhd. dan Hibiscus Petroleum Bhd.

 

Firma itu juga positif kepada Prospek Aktiviti Petronas bagi 2023-2025 memandangkan kebanyakan rantaian nilai dijangka menyaksikan peningkatan tahap aktiviti pada tahun hadapan berbanding 2022.

 

"Kami percaya 2023 akan menjadi tahun keemasan bagi perkhidmatan minyak dan gas (OGSE) – yang terlambat meraih manfaat daripada persekitaran harga minyak yang meningkat pada tahun lalu," jelasnya. 

 

Semalam, Petronas dalam laporan itu menjangkakan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga akan berterusan dan pemain industri perlu bertindak pantas terhadap perubahan dalam landskap tenaga dan menerima inovasi serta penyelesaian baharu ke arah masa depan rendah karbon.

 

Namun, syarikat utiliti negara itu kekal positif terhadap prospek aktiviti penggerudian pelantar, perkhidmatan telaga dan bawah laut berikutan keperluan aktiviti baik pulih dan penyelenggaraan untuk mengekalkan integriti kemudahan luar pesisir. - DagangNews.com