KUALA LUMPUR 10 Nov - Hong Leong investment Bank (HLIB) Research menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga, lebih tinggi pada 14% berbanding 10.8% yang dianggarkan sebelum ini.
Ini berikutan data ekonomi yang lebih kukuh setakat ini berbanding jangkaan dan juga kesan asas yang rendah.
Menurutnya, pertumbuhan pada suku itu akan dipacu prestasi yang lebih kukuh merentasi semua sektor terutamanya perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Katanya, dari segi permintaan, pertumbuhan akan dirangsang terutamanya menerusi penggunaan swasta berikutan persekitaran pasaran buruh yang lebih baik dan pemulihan ekonomi.
"Kadar pengangguran juga semakin menurun kepada 3.6% pada Oktober 2022, sejajar dengan permintaan buruh yang semakin meningkat dan prospek pendapatan yang lebih baik.
"Sementara itu, prestasi eksport bersih Malaysia juga dijangka memberi sokongan kepada keseluruhan KDNK suku ketiga, mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi dan permintaan kukuh, terutamanya produk elektrik dan elektronik (E&E)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bank Negara Malaysia akan mengumumkan data KDNK dalam sidang akhbarnya, esok.
Pada suku kedua, ekonomi negara berkembang pada kadar 8.9% berbanding 5% pada suku pertama 2022.
Bagaimanapun, HLIB berkata, momentum pertumbuhan dijangka perlahan pada suku keempat apabila kesan asas semakin hilang dan permintaan luar lemah.
Menurutnya, ketidaktentuan luaran seperti kelembapan ekonomi global berikutan pengetatan dasar monetari dan tekanan inflasi secara meluas dan peningkatan ketegangan geopolitik akan terus memberi risiko penurunan kepada pertumbuhan.
"Namun begitu, kami melihat unjuran KDNK 2022 yang lebih baik tahun ini daripada jangkaan berkembang pada akdar 6.5%.
"Ini mendorong kami mengekalkan jangkaan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas pada separuh pertama 2023," jelasnya. - DagangNews.com








