HLIB : Prospek lebih cerah menanti sektor penerbangan pada 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB : Prospek lebih cerah menanti sektor penerbangan pada 2023

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research melihat prospek yang lebih baik bagi sektor penerbangan selepas melalui pemulihan tahun ini. 

 

Malah, ia menyifatkan senario terburuk bagi sektor itu sudah pun berakhir dengan 2023 akan merekodkan hasil yang lebih tinggi apabila permintaan bagi pengangkutan udara menghampiri paras sebelum pandemik.

 

Menurutnya, pertumbuhan akan dipacu terutamanya permintaan yang meningkat bagi segmen antarabangsa seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong apabila sempadan negara itu dibuka baru-baru ini, manakala China pula dijangka pada tahun hadapan.

 

Selain itu, katanya, ketersediaan operasi pesawat operasi dapat memenuhi permintaan yang lebih tinggi turut menyokong prospek bagi sektor tersebut.

 

"Kami juga dapati harga bahan api pesawat semakin menurun sejajar dengan penurunan harga minyak mentah global kepada AS$100 setong ketika ini, selepas melonjak setinggi AS$160 setong pada Jun lalu.

 

"Harga bahan api yang lebih rendah secara umumnya positif untuk sektor penerbangan, kerana kos bahan api pesawat menyumbang kira-kira 30 hingga 50% daripada struktur kos operasi syarikat penerbangan.

 

"Kos bahan api pesawat yang lebih rendah juga membolehkan harga tiket penerbangan yang lebih murah, sekali gus meningkatkan permintaan perjalanan udara," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan pandangan 'overweight' bagi sektor penerbangan dengan saranan 'beli' terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Capital A Bhd. pada harga sasaran masing-masing RM7.75 dan 88 sen. 

 

Firma itu berkata, kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang serantau akan terus memanfaatkan sektor tersebut. 

 

Baru-baru ini ringgit menyusut nilai berbanding dolar AS kepada RM4.40 dan euro, RM4.60.

 

Ia menyifatkan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS secara keseluruhannya adalah positif kepada syarikat penerbangan (iaitu Capital A dan AirAsia X Bhd.), memandangkan kos operasi normal sekitar 40 hingga 60% adalah dalam mata wang utama itu.

 

"Sebaliknya, MAHB pula akan mendapat manfaat daripada jangkaan keuntungan yang lebih tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (dominasi dalam euro)," katanya. - DagangNews.com