HLIB 'potong' harga sasaran Press Metal kepada RM5.44 selepas semak semula unjuran keuntungan FY22-FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB 'potong' harga sasaran Press Metal kepada RM5.44 selepas semak semula unjuran keuntungan FY22-FY24

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun harga sasaran Press Metal Aluminium Holdings Bhd. kepada RM5.44 daripada RM7.28 sesaham sebelum ini dengan saranan 'beli' dikekalkan. 

 

Sejajar dengan semakan itu, firma tersebut turut mengurangkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 15%, 25% dan 21%. 

 

Katanya, semakan itu mengambil kira unjuran harga aluminium yang lebih rendah bagi tahun kewangan berkenaan dengan masing-masing pada AS$2,550 satu tan, AS$2,600 satu tan dan AS$2,650 satu tan daripada sebelum itu, AS$3,150 dan US$3,200 berikutan penurunan harga aluminium global sejak akhir-akhir ini. 

 

"Kami menjangkakan pendapatan teras kumpulan pada suku kedua yang akan diumumkan 25 Ogos ini susut antara 1 hingga 13% bagi suku ke suku dan meningkat 43 hingga 46% tahun ke tahun kepada antara RM365 hingga RM415 juta, sekiranya tidak perubahan dalam struktur kos.

 

"Ini akan dipacu oleh harga aluminimum LME pada purata AS$2,896 satu tan pada suku kedua (berbanding AS$3,248 pada suku pertama 2021 dan AS$2,414 pada suku kedua 2021) dan harga anod karbon yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Data Bloomberg menunjukkan harga anod karbon meningkat dengan ketara pada urata RMB7,116 satu tan pada suku kedua berbanding RMB5,170 pada suku sebelumnya. 

 

Anod karbon berfungsi sebagai pemangkin dalam pengeluaran aluminium dan merupakan sebahagian daripada kos pengeluaran Press Metal.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan sedikit pengurangan margin keuntungan dalam pendapatan bagi suku kedua hingga ketiga, ditambah pula dengan hasil yang lebih rendah disebabkan penurunan harga aluminium baru-baru ini," jelasnya.

 

Bagaimanapun, katanya, anggaran pendapatan teras suku kedua menunjukkan keuntungan terkumpul pada separuh pertama berada dalam julat antara RM786 hingga RM836 juta, menandakan pertumbuhan 70 hingga 81% daripada RM461 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

"Ini akan membentuk kira-kira 36 hingga 38% daripada ramalan tahun penuh FY22 kami dan 41 hingga 43% daripada anggaran konsensus setahun penuh," tambahnya.

 

Setakat 10.50 pagi ini, harga saham Press Metal susut 4 sen atau 0.81% kepada RM4.91 dengan 1.22 juta saham diniagakan. - DagangNews.com