KUALA LUMPUR 22 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap VS industry Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.14 sesaham memandangkan kumpulan mampu mengharungi ketidaktentuan pada 2023 dan meraih manfaat daripada lencongan perdagangan.
Ini berdasarkan kepada kedudukannya sebagai pemain perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) terbesar di Malaysia yang mempunyai rekod prestasi kukuh.
Menurutnya, VS Industry menjangkakan Pelanggan X akan menjadi penyumbang utama pertumbuhan dengan anggaran sebanyak RM2.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23), lebih tinggi berbanding panduan sebelum itu, RM2.1 bilion.
Katanya, pesanan untuk Pelanggan X terus kukuh dengan kadar pengeluaran meningkat daripada pengeluaran besar-besaran yang dimulakan untuk model baharu.
"Seperti panduan yang diberikan sebelum ini, pengurusan menjangkakan pelanggan dari Amerika Syarikat (AS), pembuat kopi dan pelanggan pencuci kolam akan mencatatkan angka yang lebih perlahan di sebalik kebimbangan kemelesetan.
"Walaupun terdapat risiko semakan pesanan menurun daripada pelanggan lain, kami dapati tinjauan pesanan daripada Pelanggan X akan dapat menampung lebih daripada kerugian itu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu mendapati persekitaran VS Industry semakin baik dengan dua cabaran utamanya iaitu masalah kekurangan buruh dan bekalan semakin pulih.
Malah, kumpulan dapat mengendalikan kesemua lojinya tanpa masalah kekurangan pekerja manakala masalah bekalan dan logistik kekal terurus.
Menurut HLIB, terdapat kelebihan yang berpotensi untuk kumpulan terus berkembang, berikutan pemerolehan Pelanggan Y oleh 'e-dagang AS yang besar'.
"Pengurusan mendedahkan pelanggan tersebut sedang mencari untuk menyatukan rantaian bekalannya dengan mengecilkan kepada 2 hingga 3 pembekal daripada 6 ketika ini (4 di China dan 2 di Malaysia).
"Dengan hubungan perdagangan AS-China yang masih tegang, VS Industry yakin mereka akan mendapat manfaat daripadanya," jelasnya.
Untung bersih VS Industry Bhd. melonjak 54% kepada RM60.71 juta pada suku pertama berakhir 31 Oktober 2022 berbanding RM39.39 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong jualan yang lebih tinggi daripada pelanggan utama sedia ada
Pendapatan pada suku berkenaan turut meningkat 33.7% kepada RM1.29 bilion daripada RM967.99 juta.
Setakat 11.35 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 0.56% kepada 90.5 sen dengan 422,300 saham diniagakan. - DagangNews.com








