HLIB jangka Focus Lumber catat prestasi kukuh pada Q4, catat CAGR 54% bagi FY21-FY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB jangka Focus Lumber catat prestasi kukuh pada Q4, catat CAGR 54% bagi FY21-FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan pendapatan Focus Lumber Bhd. akan kembali mengukuh pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (Q4) dengan mencapai kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 54% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23. 

 

Prestasi positif itu akan dipacu menerusi pertumbuhan sektor kenderaan rekreasi (RV) dan pasaran hartanah di Amerika Syarikat (AS), menurut penganalisisnya, Sam Jun Kit dalam nota kajian hari ini. 

 

"Kami menilai Focus Lumber pada RM1.98 sesaham berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 sebanyak 23 sen (purata 10 tahun harga kepada pendapatan-P/E), iaitu kira-kira 34% diskaun berbanding purata pemain industri pada 13.2x," katanya. 

 

Focus Lumber secara dasarnya terlibat dalam pembuatan dan pemasaran papan lapis, venir dan Kayu Venir Berlapis (LVL).

 

Papan lapis menjadi produk utama yang menjana hasil pendapatan kumpulan, merangkumi kira-kira 98% pada FY20, yang dieksport ke AS, Taiwan, Thailand dan beberapa lagi negara. 

 

Sebahagian besar papan lapis juga dieksport dalam sektor RV, menyumbang 50% daripada jualan papan lapisnya.

 

Jun Kit melihat Focus Lumber akan menjadi penerima manfaat utama dalam kepelbagaian pesanan di tengah-tengah 'perang kayu' antara AS dan Kanada.

 

Kanada merupakan pengeksport utama papan lapis ke AS dan juga pengeksport terbesar kayu lembut di dunia, telah menetapkan purata duti yang tinggi sebanyak 17.9% bagi import kayu lembut ke AS (2 kali ganda daripada kadar sebelumnya pada 8.99%). 

 

"Ditambah dengan pertikaian perdagangan AS-China yang berterusan, ini berkemungkinan akan mengakibatkan pengimport AS mengalihkan produk kayu mereka dari Kanada ke tempat lain, seperti Malaysia, Vietnam dan Indonesia, di tengah-tengah permintaan perumahan yang berkembang pesat di AS.

 

"Walaupun kadar gadai janji dinaikkan disebabkan kenaikan faedah tahun ini, tetapi kami optimis pasaran hartanah di AS masih kekal sihat dengan mengambil kira inventori rumah yang rendah dan perubahan minda pembeli rumah berikutan budaya bekerja dari rumah," jelasnya.

 

Menurut beliau, permintaan bagi RV juga semakin berkembang kerana ia memberi peluang untuk orang ramai menikmati percutian di samping mematuhi penjarakan sosial. 

 

Persatuan RV turut menjangkakan penghantaran kenderaan itu ke AS berkembang 40% kepada 602,000 unit pada 2021 dan meningkat lagi kepada 613,000 unit tahun ini, memandangkan lebih ramai penduduk di negara tersebut merancang percutian pada 2022.

 

"Sehubungan itu, kami percaya trend peningkatan dalam permintaan RV akan melonjakkan lagi pendapatan Focus Lumber ke tahap yang lebih tinggi, berkat kehadiran kukuhnya dalam industri ini di samping kualiti produk dan rekod prestasinya," tambah beliau. 

 

Setakat 11.08 pagi ini, harga saham Focus Lumber menokok 2 sen atau 1.39% kepada RM1.46 dengan 1.2 juta saham diniagakan. - DagangNews.com