KUALA LUMPUR 13 April - Harga saham Yinson Holdings Bhd. hanya akan kembali pulih setelah ia menyelesaikan langkah terbitan hak, menurut CGS-CIMB Research.
Penganalisisnya, Raymond Yap berkata, ini kerana rasional bagi penjualan saham tersebut tidak lagi wujud memandangkan kumpulan menjangkakan dapat memuktamadkan langkah berkenaan pada pertengahan tahun ini.
Katanya, harga saham syarikat minyak dan gas itu semakin lemah sejak pertama kali kumpulan bercadang untuk melaksanakan terbitan hak pada 20 Disember 2021.
"Kami percaya pelabur Yinson perlu mengurangkan pegangan mereka dalam syarikat untuk beberapa bulan ini bagi memberi ruang menyertai terbitan hak yang akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Yinson sebelum ini mengumumkan terbitan bonus 1 kepada 1 dan mengumpul dana kira-kira RM1.1 hingga RM1.22 bilion bagi membiayai projek FPSO Maria Quiteria (MQ) yang akan digunakan di Parque das Baleias (PDB), lapangan luar pesisir Brazil menjelang akhir 2024.
Kumpulan juga menerbitkan waran untuk mengumpul dana antara RM800 hingga RM850 juta.
Bahagian pertama dalam cadangan berkenaan sudah pun selesai dengan dagangan ex-bonus (terbitan bonus 1 kepada 1) saham Yinson semalam.
Perkara lain dalam langkah pengumpulan dana itu masih lagi berjalan tetapi Yinson menjangkakan ia dapat diselesaikan sekurang-kurangnya akhir Jun atau awal Julai 2022.
Terbitan bonus, hak dan waran telah diluluskan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa pada 29 Mac lalu.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Yinson dengan harga sasaran pada RM3.95 dengan menjangkakan harga saham akan dinilai semula sebaik sahaja langkah terbitan hak itu selesai.
Pada masa sama, ia juga didorong beberapa kontrak baharu FPSO yang akan diperoleh pada separuh kedua 2022.
"Potensi tawaran awam permulaan (IPO) atau jualan strategik kira-kira 25% daripada syarikat pegangan FPSO, yang dirancang pada suku keempat 2022, juga dilihat akan menambah nilai kepada perniagaan FPSO Yinson dan meningkatkan dana sebanyak RM2.2 bilion.
"Beserta langkah terbitan hak (RM1.1 hingga RM1.22 bilion), ini akan mengurangkan tahap gearan Yinson dengan ketara, sekali gus mengurangkan kebimbangan pelabur mengenai perkara ini," jelasnya.
Setakat 11.49 pagi ini, harga sahamnya menokok 2 sen atau 0.81% kepada RM2.49 dengan 136,200 saham diniagakan. - DagangNews.com








