KUALA LUMPUR 17 Mac - Harga minyak sawit mentah dijangka kekal tinggi sekurang-kurangnya sehingga akhir separuh pertama 2022 ekoran gangguan bekalan di Malaysia beberapa bulan akan datang, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Penganalisisnya, Chye Wen Fei berkata, walaupun Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan pengeluaran akan meningkat 4.9% kepada 19 juta tan metrik tahun ini, tetapi ia bergantung kepada kemasukan pekerja buruh ke negara ini dan juga bekalan baja yang mencukupi.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu mencetuskan persoalan terutamanya dalam kalangan pekebun kecil di tengah-tengah masalah kekurangan baja.
"Selain itu, masih wujud ketidaktentuan bagi pengeluar utama minyak biji-bijian (seperti kacang soya, jagung dan bunga matahari) dan juga konflik Rusia-Ukraine yang masih berterusan, meningkatkan kebimbangan berlakunya kekurangan minyak sayur-sayuran.
"Pada masa sama, langkah kerajaan Indonesia meningkatkan obligasi pasaran domestik (DMO) kepada 30% (daripada 20% sebelum ini) pada 10 Mac lalu, akan terus memberi tekanan kepada bekalan minyak sayur-sayuran dalam pasaran eksport, yang sudahpun berdepan kekangan bekalan.
"Faktor-faktor ini secara tidak langsung, menyokong harga minyak sawit mentah," katanya dalam nota kajian hari ini.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), Rusia dan Ukraine masing-masing menyumbang sebanyak 78% dan 19% daripada perdagangan global bagi minyak bunga matahari dan jagung.
Baru-baru ini, USDA turut mengurangkan unjuran pengeluaran kacang soya di Argentina dan Brazil ekoran masalah kemarau yang teruk dan berpanjangan.
Konflik berterusan antara kedua-dua negara ini, menurut Wen Fei akan menjejaskan bekalan baja (sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran minyak sayur-sayuran).
Ini memandangkan Rusia merupakan pengeluar utama baja dan bahan mentah berkaitan (seperti urea, ammonium nitrat dan potash).
Bagaimanapun, beliau percaya, unjuran minyak sawit mentah akan melepasi sasaran bagi 2022 pada RM4,300 satu tan metrik.
Bagi 2023 dan 2024 pula, harga minyak sawit mentah masing-masing diunjur berlegar pada RM3,300 satu tan metrik.
"Buat masa ini, kami tidak membuat sebarang perubahan pada unjuran harga minyak sawit mentah, memandangkan situasi masih kekal tidak berubah.
"Berdasarkan anggaran kami, setiap kenaikan RM100 satu tan metrik dalam anggaran harga minyak sawit akan meningkatkan ramalan pendapatan bagi saham syarikat perladangan di bawah liputan kami antara 3.5 hingga 15%," jelasnya.
Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utamanya ialah saham FGV Holdings Bhd., IOI Corp Bhd., Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) dan Sime Darby Plantation Bhd.
Firma itu memberi saranan 'beli' kepada syarikat perladangan ini dengan harga sasaran masing-masing pada RM2.34 bagi FGV diikuti RM5.09 (IOI Corp.), RM32.43 (KLK) dan RM5.95 (Sime Darby Plantation). - DagangNews.com








