KUALA LUMPUR 12 April - CGS-CIMB Research mengunjurkan harga minyak sawit mentah akan berlegar antara RM6,000 hingga RM7,000 satu tan metrik pada April berikutan bekalan eksport minyak bunga matahari yang lebih rendah dari Rusia dan Ukraine.
Permintaan yang tinggi menjelang sambutan Hari Raya Puasa pada 2 hingga 3 Mei juga merupakan antara faktor yang mempengaruhi harga minyak sawit mentah pada bulan tersebut.
"Bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi oleh bekalan eksport yang lebih tinggi dari Indonesia selepas kerajaan negara itu memutuskan untuk memansuhkan obligasi pasaran domestik (DMO) pada 20 Mac lalu dan menggantikannya dengan levi eksport yang lebih tinggi.
"Pada masa sama, satu lagi perkembangan penting yang perlu diperhatikan ialah pengambilan pekerja asing oleh pengeluar minyak sawit Malaysia berikutan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia pada 1 April lalu mengenai penempatan dan perlindungan pekerja domestik Indonesia," katanya dalam nota kajian hari ini.
Data yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) semalam menunjukkan jumlah inventori minyak sawit susut 2.99% bulan ke bulan kepada 1.47 juta tan metrik pada Mac 2022 daripada 1.51 juta tan metrik pada bulan sebelumnya disebabkan eksport yang lebih tinggi.
Baca : Stok minyak sawit susut, pengeluaran meningkat 1.41 juta tan metrik pada Mac 2022
Firma itu mendapati, paras stok adalah 5.8% lebih rendah daripada anggaran 1.56 juta tan metrik manakala 1 hingga 4% lebih rendah daripada konsensus Bloomberg.
"Eksport yang lebih tinggi daripada jangkaan ini mungkin disebabkan permintaan lebih tinggi bagi minyak sawit ekoran kekurangan minyak bunga matahari akibat konflik yang tercetus antara Rusia-Ukraine.
"Permintaan eksport Indonesia juga lebih lemah apabila kerajaannya menaikkan peratusan DMO kepada 30%, meningkatkan 10 mata peratus daripada mandat sebelum itu yang berkuat kuasa 10 hingga 20 Mac lalu," jelasnya.
Bagaimanapun, inventori minyak sawit di Malaysia kekal ketat setakat akhir Mac, iaitu 25% lebih rendah daripada purata 10 tahun tahap stok pada Mac sebanyak 1.95 juta tan metrik.
Namun, CGS-CIMB menganggarkan stok minyak sawit akan meningkat 2.6% bulan ke bulan kepada 1.51 juta tan metrik menjelang akhir bulan ini.
"Pengeluaran dan eksport bagaimanapun masing-masing dijangka susut sebanyak 3% disebabkan kekurangan pekerja buruh dan 10% (akibat persaingan dengan eksport minyak sawit Indonesia)," katanya.
Menurut firma itu, sekiranya masalah kekurangan tenaga buruh dapat ditangani, pengeluaran daripada ladang sawit di Malaysia akan terus meningkat.
Ini katanya, akan menyaksikan syarikat perladangan merekodkan hasil suku pertama 2022 yang lebih kukuh apabila harga purata minyak sawit mentah berkembang 55% bagi tahun ke tahun dan 19% suku ke suku kepada RM6,039 satu tan metrik manakala pengeluaran meningkat 4% tahun ke tahun.
"Oleh itu, buat masa ini, kami mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah pada RM4,100 satu tan metrik dan mengulangi penarafan 'neutral' bagi sektor perladangan.
"Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd., Genting Plantations Bhd. dan Hap Seng Plantations Bhd. dengan masing-masing mengekalkan saranan 'tambah' pada harga sasaran RM29.57, RM9.18 dan RM2.79 sesaham," katanya. - DagangNews.com








