KUALA LUMPUR 13 Dis - Harga minyak mentah Brent tidak mungkin kembali kepada paras AS$100 setong pada separuh pertama 2023 sebaliknya dijangka berlegar menghampiri AS$90 setong, demikian menurut Moody's Analytics.
Pakar ekonomi kanan Moody's Analytics, Stefan Angrick berkata, harga minyak dijangka tidak melebihi AS$100 setong hingga pertengahan tahun depan, dan kemudian menurun kepada sesuatu yang lebih daripada kadar keseimbangan, apabila penawaran dan permintaan mula mencapai keseimbangan.
"Walaupun terdapat kemungkinan besar terdapat sedikit ketidaktentuan disebabkan sekatan Eropah ke atas pengangkutan minyak mentah dari Rusia ke laut, tetapi kami masih mengekalkan andaian sesuatu yang hampir AS$90 setong (untuk minyak mentah Brent) apabila memasuki awal tahun depan, tetapi di bawah AS$100 setong," katanya seperti dilapor The Edge hari ini ketika membentangkan prospek rantau Asia Pasifik bagi 2023.
Ramalan tersebut adalah berdasarkan kepada andaian bahawa tidak akan ada kejutan yang akan berlaku selepas perang di Ukraine.
"Kami tidak menganggap perang akan berakhir. Kami tidak tahu bila itu akan berlaku, tetapi kami mengandaikan tidak akan ada kesan ketara ke atas harga minyak, selain ketidaktentuan yang mungkin datang daripada sekatan yang dilaksanakan," jelasnya.
Minyak mentah Brent diniagakan sekitar AS$79.25 setong pada Selasa, selepas mencapai paras tertinggi AS$127.98 setong pada 8 Mac lalu, berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu.
Dalam pada itu, Stefan berkata, pertumbuhan ekonomi di rantau Asia Pasifik berkemungkinan hilang momentum pada tahun depan di tengah-tengah persekitaran global yang mencabar.
Beliau menjangkan pertumbuhan ekonomi pada 2023 lebih lemah berbanding tahun ini disebabkan antaranya, kelembapan ekonomi global, kenaikan kadar faedah dan inflasi.
"Namun, secara umum, kami menjangkakan Asia Pasifik akan mengelak kemelesetan, kecuali New Zealand.
"Prospek pertumbuhan ekonomi termasuk Korea Selatan, Australia dan New Zealand akan dipengaruhi dengan kenaikan kadar faedah," jelasnya.
Malah, mneurutnya, Filipina, Vietnam, India, Indonesia dan Malaysia juga akan menyaksikan pertumbuhan KDNK yang lebih sederhana pada 2023 berbanding 2022.
Tetapi, katanya, kadar pertumbuhan secara relatifnya akan lebih baik di rantau Asia Pasifik.
"Sementara itu, China dan Hong Kong adalah terkecuali kerana KDNK dijangka meningkat tahun depan, apabila China melonggarkan sekatan terhadapn COVID-19," katanya. - DagangNews.com








