Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Dis - Harga logam yang lebih tinggi yang digunakan dalam bateri litium-ion (LiB) akan memberi kesan negatif kepada margin keuntungan bagi pembuat kenderaan elektrik (EV) dan pengeluar bateri, menurut Fitch Solutions Country Risk & Industry Research.
Firma itu berkata OEM akan beralih kepada bateri kimia Lithium Iron Phosphate (LFP) yang lebih murah untuk mengelakkan kenaikan dalam bateri kaya nikel sambil menggunakan reka bentuk sel-ke-pek untuk memacu kos keseluruhan yang lebih rendah.
Ia berkata pembuat kereta akan berusaha untuk mengurangkan impak kos bateri yang lebih tinggi untuk pengguna, namun risikonya akan memberi kesan kepada penggunaan EV global, terutamanya di negara yang tidak mempunyai insentif.
Fitch Solutions berkata memandangkan logam bateri kekal sebagai salah satu penyumbang terbesar kepada kos pembuatan bateri, harga yang lebih tinggi pada 2021 dan 2022 akan memberi tekanan terhadap margin keuntungan pengeluar bateri dan pembuat kereta apabila lebih banyak model EV dikeluarkan.
“Oleh itu kami menjangkakan kos input yang lebih tinggi akan mengakibatkan risiko kenaikan harga bateri pada 2022 apabila perjanjian jangka panjang dengan firma perlombongan untuk pembekalan logam utama dimeterai pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding 2020.
“Dalam jangka panjang, perkembangan dalam peningkatan kitar semula bateri akan membawa kepada tinjauan bekalan logam bateri yang lebih baik kerana persekitaran bekalan logam 'closed loop' menawarkan mekanisme harga yang lebih baik di sebalik situasi lebih banyak logam digunakan semula dalam EV baharu pada masa hadapan," katanya.
Fitch Solutions pada masa ini meramalkan jualan EV global meningkat sebanyak 40.3% pada 2022.
Menurutnya ia kerana permintaan terus meningkat di tengah-tengah keperluan untuk menyahkarbonkan kenderaan global.
Ia berkata Asia, Eropah dan Amerika Utara akan kekal sebagai pasaran dominan untuk EV sepanjang tempoh ramalan 2021-2030.
"Pasaran ini menawarkan pasaran yang besar untuk diterokai manakala negara membangun terus ketinggalan dengan kemungkinan harga EV yang lebih tinggi membantutkan pertumbuhan dalam pasaran ini," katanya. -DagangNews.com








