GSK Malaysia perjuang aktiviti pelupusan sisa perubatan secara bertanggungjawab menerusi kempen #GiveBack  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GSK Malaysia perjuang aktiviti pelupusan sisa perubatan secara bertanggungjawab menerusi kempen #GiveBack 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun - GSK Malaysia mengambil peranan penting dalam pelupusan sisa perubatan yang bertanggungjawab menerusi fasa kedua kempen #GiveBack di seluruh negara, yang dilancarkan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia. 

 

Kempen ini merupakan usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di seluruh Malaysia untuk mengumpul alat sedut pelega asma dan pek ubat terpakai, tamat tempoh atau tidak diingini untuk pelupusan yang teratur dan selamat.

 

Naib Presiden dan Pengurus Besar GSK Malaysia dan Brunei, Dr Jonathan Pan berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kemampanan global, pihaknya memberi sepenuh perhatian bagi mencapai impak sifar bersih ke atas iklim dan impak positif bersih ke atas alam sekitar menjelang 2030. 

 

"Kempen #GiveBack kami menyokong matlamat-matlamat tersebut dengan menawarkan kaedah mudah bagi orang ramai di Malaysia melupuskan alat sedut pelega asma dan pek ubat terpakai secara bertanggungjawab dan sekali gus mengurangkan kesan negatif terhadap bumi. 

 

"Pada Jun tahun lepas, kami memulakan fasa perintis bersama rakan kempen pertama BIG Pharmacy dan sekarang dengan pertambahan rakan-rakan farmasi dan kumpulan penjagaan kesihatan, kami teruja dengan perluasan program ini dan mengharapkan penglibatan rakyat Malaysia dalam #GiveBack," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof Amrahi Buang berkata, kempen #GiveBack GSK sejajar dengan kempen ‘Memulangkan Ubat’ oleh Kementerian Kesihatan, dan pihaknya menggesa semua rakyat Malaysia untuk menyokong usaha ini dengan membawa alat sedut pelega asma dan pek ubat terpakai ke mana-mana pusat pengumpulan untuk dilupuskan dengan teratur. 

 

"Dalam bidang kerja kami, kami perlu mengimbangi keperluan menyediakan ubat yang dibungkus dengan selamat sambil mengakui kesannya terhadap alam sekitar dan melakukan apa yang kami mampu untuk mengurangkan jejak karbon kami," katanya.

 

 

gsk
                                                                              Dr Jonathan Pan

 

 

Sebagai kaedah menarik penglibatan lebih ramai rakyat Malaysia kepada kempen ini, GSK telah menugaskan pemasangan seni kreatif menggunakan sisa pek ubat dan alat sedut pelega asma yang dibuang. 

 

Hasil seni tersebut yang direka pelajar dari The Design School di Taylor's University, menyerlahkan kepentingan pelupusan sisa perubatan teratur dan kesannya terhadap alam sekitar sambil turut memberi peluang kepada generasi akan datang terlibat dalam advokasi alam sekitar. 

 

Hasil seni berkenaan akan dipamerkan semasa jerayawara GSK #GiveBack menggunakan lori paparan di lokasi trafik tinggi di seluruh Lembah Klang, bagi menyemarakkan kesedaran dan meningkatkan minat terhadap kelestarian alam sekitar.

 

 

gsk

 

 

Kempen #GiveBack akan terus menerima alat sedut pelega asma dan pek ubat terpakai di mana-mana tong pembuangan GSK #GiveBack yang terletak di farmasi dan hospital/klinik rakan kongsi di seluruh negara. 

 

Orang ramai juga boleh membuang sisa perubatan mereka semasa jerayawara Roving Truck dari 17 hingga 26 Jun 2023. 

 

Untuk maklumat lanjut tentang kempen ini, sila lawati farmasi/hospital berdekatan atau lawati Instagram The Design School @ Taylor's University (www.instagram.com/taylorsdesignschool). - DagangNews.com