Grab terus komited tetapkan standard ekonomi gig menjamin kebajikan pekerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Grab terus komited tetapkan standard ekonomi gig menjamin kebajikan pekerja

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Grab komited menetapkan standard ekonomi gig dengan memberi keutamaan tertentu serta menambah baik mutu perkhidmatan dan tahap perlindungan untuk rakan pemandu dan penghantarnya.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata kerjasama dengan kerajaan tersebut adalah susulan usaha syarikat berkenaan menyediakan persekitaran kerja yang menawarkan fleksibiliti, keselamatan kewangan, perlindungan, dan pembangunan profesional.

 

“Sebagai platform, Grab menyediakan peluang kerja fleksibel kepada pelbagai kumpulan rakan-pemandu dan rakan-penghantar yang sedia ada untuk memperoleh peluang pendapatan.

 

“Rakan Grab juga mempunyai fleksibiliti untuk beralih antara platform atau memulakan dan menamatkan kerja pada bila-bila masa, mengambil pelbagai peluang pendapatan, dan menentukan corak dan jam kerja mereka sendiri.

 

“Dalam mengambil kira perkara ini, Grab akan terus berusaha untuk kekal telus dan adil dalam menjana pendapatan rakan pemandu dan rakan penghantar kami,” katanya.

 

 

Adeline Foo
Adeline Foo

 

 

Adelene berkata syarikat itu turut membuat pelaburan besar terhadap kebajikan dan kos kawal selia mereka untuk sepanjang tahun.

 

Katanya, ia membabitkan perlindungan insurans percuma, menggalakkan sumbangan SOCSO dan EPF, peluang peningkatan kemahiran dan pembangunan profesional, inisiatif keselamatan, serta faedah harian seperti diskaun bahan api dan lain-lain.

 

“Grab beroperasi mengikut model di mana walaupun tahap perlindungan telah disediakan, rakan penghantar dan rakan pemandu kami masih diiktiraf sebagai pekerja bebas.

 

“Justeru, kami akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menambah baik perlindungan sosial dan memastikan penyediaan peluang peningkatan kemahiran mereka, sekaligus melengkapi mereka dengan latihan kemahiran diperlukan dalam ekonomi gig yang sedang berkembang,” tambahnya.

 

Pada 8 Ogos 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telag mengadakan sesi dialog bersama lima wakil daripada penghantar termasuk Grab bagi membincangkan masa depan ekonomi gig.  - DagangNews.com