NexG miliki kontrak aktif RM2.74 bilion dengan KDN bagi dokumen keselamatan kerajaan - Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NexG miliki kontrak aktif RM2.74 bilion dengan KDN bagi dokumen keselamatan kerajaan - Parlimen diberitahu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Julai – Datasonic Technologies Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh NexG Bhd kini mempunyai kontrak aktif bernilai RM2.74 bilion bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melibatkan penyediaan serta pengurusan pelbagai dokumen keselamatan kerajaan, Parlimen diberitahu.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kontrak berkenaan merangkumi penyelenggaraan pusat pengeluaran kad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bekalan kad kosong MyKad, MyTentera dan MyPoCA, percetakan serta penghantaran dokumen keselamatan, bekalan pasport Malaysia dan kad pengenalan pekerja asing (i-KAD).

 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang meminta KDN menjelaskan butiran kontrak aktif NexG berkaitan dokumen keselamatan serta mekanisme pemantauan kerajaan bagi memastikan kestabilan bekalan dan perlindungan data sensitif rakyat.

 

Daripada keseluruhan nilai kontrak itu, bahagian terbesar melibatkan pembekalan pasport Malaysia kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bernilai RM1.73 bilion bagi tempoh 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2032.

 

Selain itu, beliau berkata kontrak bernilai RM732.72 juta turut diberikan bagi membekalkan MyKad, MyTentera, MyPoCA serta bahan berkaitan kepada JPN bagi tempoh enam tahun yang sama.

 

Saifuddin berkata, kontrak lain yang dimiliki Datasonic Technologies termasuk penyelenggaraan pusat pengeluaran kad JPN bernilai RM111.84 juta bagi tempoh 1 Jun 2021 hingga 31 Januari 2027.

 

Ia turut melibatkan lanjutan kontrak selama lapan bulan bernilai RM22.83 juta bermula 1 Mei hingga 31 Disember 2026 bagi kerja reka bentuk, percetakan, pembekalan dan penghantaran pelbagai dokumen keselamatan JPN, selain kontrak RM140 juta untuk membekalkan i-KAD kepada JIM dari 1 November 2022 hingga 30 April 2027.

 

Dalam pada itu, Saifuddin memberi jaminan kerajaan sentiasa memantau rantaian bekalan dokumen keselamatan menerusi unjuran stok bulanan yang dibuat oleh JPN dan JIM bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

 

t

 

Katanya, sekiranya berlaku gangguan dalam rantaian bekalan, pelan tindakan kecemasan akan diaktifkan segera bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap penyampaian perkhidmatan awam.

 

“Semua pangkalan data MyKad dan maklumat sensitif rakyat merupakan hak eksklusif kerajaan Malaysia serta ditempatkan sepenuhnya di pusat data kerajaan yang mempunyai tahap keselamatan tinggi.

 

“Syarikat yang diberikan kontrak berkaitan dokumen keselamatan perlu menjalani tapisan keselamatan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bagi memastikan pematuhan ketat terhadap keperluan keselamatan serta mengurangkan risiko kebocoran atau penyalahgunaan maklumat peribadi,” katanya.

 

Bagi pasport Malaysia pula, Saifuddin berkata maklumat pemegang pasport dilindungi menerusi ciri keselamatan fizikal dan elektronik yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

 

Ia termasuk penggunaan dua lapisan percetakan keselamatan pada halaman biodata serta data dalam cip elektronik yang dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

 

Sebelum ini, NexG menjadi perhatian susulan kemelut dalaman lembaga pengarah selepas sekumpulan pemegang saham mencabar kepimpinan syarikat, dengan syarikat tersebut mendakwa tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan cubaan pengambilalihan oleh pihak tertentu.

 

NexG juga baru-baru ini mencadangkan untuk menukar semula nama korporatnya kepada Datasonic Group Bhd, selepas lebih setahun menggunakan nama NexG susulan penjenamaan semula daripada Datasonic. - DagangNews.com