KUALA LUMPUR 23 Dis - AmInvestment Bank Research menjangkakan Gamuda Bhd. akan memperoleh lebih banyak kontrak baharu di Australia selain tertumpu di Malaysia.
Projek di negara tersebut membabitkan Suburban Rail Loop East dan projek infrastruktur tenaga boleh diperbaharui manakala di Malaysia pula termasuklah projek MRT3, tambakan Penang South Island dan tebatan banjir.
Ini berikutan semalam, Gamuda Bhd. dan syarikat berpangkalan di Australia, John Holland Pty Ltd menerusi syarikat usahs samanya, John Holland Gamuda Joint Venture (JHGJV) mengumumkan memperoleh kontrak sambungan Lebuhraya M1 Motorway ke Raymond Terrace iaitu kontrak Black Hill ke Tomago bernilai RM3.03 bilion.
Kontrak diperoleh daripada Pengangkutan New South Wales (NSW) iaitu entiti pemerolehan kerajaan NSW Australia membabitkan reka dan bina itu dijangka menjana pendapatan sekitar A$411 juta (RM1.21 bilion) kepada kumpulan.
AmInvestment menjangkakan kontrak itu akan mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan (dengan kerja-kerja pembinaan projek tersebut akan bermula pertengahan 2023).
"Malah, kami juga menganggarkan bahagian keuntungan sebelum cukai yang diperoleh Gamuda daripada kontrak ini adalah sebanyak RM30 juta setahun.
"Ia mewakili 4% daripada keuntungan bersih Gamuda bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 (FY24)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Gamuda dengan nilai wajar tidak berubah pada RM4.10 sesaham.
"Kami turut mengekalkan unjuran kami memandangkan penganugerahan projek ini adalah memenuhi anggaran penambahan nilai kontrak bagi FY23 sebanyak RM16 bilion," jelasnya.
Setakat 10.58 pagi, harga sahamnya menokok 2 sen atau 0.54% kepada RM3.72 dengan 1.37 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








