Galeri UiTM, Segaris Art Center anjur pameran bersama Samsung sempena ulang tahun ke-10 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Galeri UiTM, Segaris Art Center anjur pameran bersama Samsung sempena ulang tahun ke-10

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Galeri yang ditubuhkan di bawah UiTM Art & Design Sdn Bhd, anak syarikat UiTM Holdings Sdn Bhd iaitu Segaris Art Center bakal menganjurkan pameran berkumpulan dengan kerjasama Samsung Electronics Malaysia sempena ulang tahunnya yang ke-10. 

 

Pameran itu bakal menampilkan lebih 90 artis Malaysia di White Box, Publika, Kuala Lumpur dari 4 Oktober hingga 17 Oktober 2021 dan akan dilancarkan secara rasmi pada 10 Oktober ini. 

 

Sejajar dengan kewibawaan Segaris Art Center untuk menyediakan platform bagi pelukis-pelukis yang baharu dikenali untuk berhubung dengan ekosistem seni, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nizam Rahmat berkata, ramai artis muda telah mempamerkan bakat, idea dan kreativiti mereka melalui pameran yang dianjurkan oleh Segaris Art Center. 

 

“Ia merupakan satu penghormatan bagi kami untuk  memupuk bakat mereka dan menyaksikan perkembangan kerjaya mereka. 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nizam Rahmat
Mohd Nizam Rahmat

 

“Mereka adalah masa  hadapan seni Malaysia dan kami menggalakkan mereka untuk berkembang dalam dunia seni  antarabangsa. 

 

“Begitu juga dengan artis-artis yang terkenal dan senior, penyertaan aktif mereka dalam  program seni ini menegaskan peranan kami dalam berhubung dengan komuniti seni secara holistik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menerusi kerjasama dengan Samsung, Segaris Art Center  telah memilih 10 lukisan yang akan tersedia untuk pelanggan Malaysia di Samsung's The Frame Art  Store dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022. 

 

Acara ini disokong oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana) di bawah Pakej  Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan  ditadbir oleh MyCreative Ventures. 

 

Karya seni oleh artis dari pelbagai segmen: muda dan baharu dikenali, pertengahan kerjaya, senior  dan ternama akan mengambil bahagian dalam pameran ini iaitu Juhari Said, Rafiee Ghani, Agnes Lau;  Hug Yin Wan; Faiz Mahdon; Kide Baharudin; Al-Khuzairie Ali; Edroger Rosili; Faisal Suhif; Jamil Mat Isa;  Jalaini Abu Hassan; Datuk Tajuddin Ismail serta ramai lagi. 

 

Menyesuaikan diri dengan norma baharu, Segaris Art Center juga telah mengadakan beberapa siri  pameran seni maya sejak bermulanya pandemik seperti "WRWT" (2020); "No(w) Showing" (2020) dan  "Sa-Hari-Hari oleh Kide Baharuddin' (2021). 

 

"Kami berharap untuk melihat Segaris Art Center berkembang menjadi muzium pusat seni tersendiri. “Ini dapat dilakukan dengan meneroka jabatan-jabatan lain seperti unit pemuliharaan dan  perkhidmatan seni; curator serta perundingan seni agar dapat mengadakan lebih banyak kerjasama  dengan orang-orang berkenaan di dalam dan luar negara," kata Mohd Nizam. 

 

Segaris Art Center juga mengambil bahagian di dalam Artober 2021 oleh CIMB. 

 

Sejak tahun 2011, Segaris Art Center telah mengadakan 102 pameran seni yang terdiri daripada  pertunjukan berkumpulan dan solo serta penyertaan dalam pameran seni tempatan dan  antarabangsa termasuk di Art Expo Malaysia; Art Moments dan Art Jakarta di Jakarta Indonesia; dan Singapore Contemporary, Singapura.

 

Lebih 800 artis telah mempamerkan karya seni mereka dalam pameran yang dianjurkan oleh Segaris  Art Center sepanjang penubuhannya. 

 

Pameran seni yang melibatkan institusi seni tempatan dan antarabangsa juga diadakan bagi memberi  peluang untuk akademia rentas sempadan dan kerjasama industri serta merapatkan jurang di antara  graduan dan industri. 

 

Antaranya ialah "Aqal" (2016); "School of Thought" (2017) dan "BEDA: Alumni  Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM dan Alumni Institut Seni Indonesia, Yogyakarta" (2019). - DagangNews.com