KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pasaran kerjaya kini bersiap sedia untuk generasi akan datang, Generasi Z (Gen-Z), yang lahir selepas pertengahan 90-an.
Berkenaan gaji lebih tinggi bukanlah faktor paling penting untuk menarik dan mengekalkan kakitangan generasi baharu, menurut penyelidik.
Menurut kaji selidik nadi COVID-19 terbaharu kendalian Mercer, yang meninjau pendapat lebih daripada 850 majikan di peringkat global, rasa tidak puas hati mengenai gaji dan manfaat, serta kemajuan kerjaya terhad telah muncul sebagai faktor utama bagi kadar pemberhentian kerja yang lebih tinggi.
Ramai bakat baharu bakal menyertai tenaga kerja tidak lama lagi disusuli musim konvokesyen yang bermula di kebanyakan institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.
Kumpulan graduan tahun ini membawakan perspektif yang unik kepada pasaran kerjaya setelah menempuh pelbagai rintangan untuk belajar sepanjang musim pandemik.
Graduan Sains Alam Sekitar University of Nottingham Malaysia (UNM), Damia Munira Bakhthiar, yakin bahawa keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan sangat penting.
Graduan itu berhasrat untuk membina kerjaya di syarikat yang mengamalkan persekitaran kerja yang sihat dan beretika, agar kakitangan serta persekitaran dihormati.
"Saya ingin mencari peluang untuk terus belajar dan berkembang maju, justeru majikan pilihan saya ialah organisasi yang menawarkan peluang membina keupayaan bersama pakar-pakar berpengalaman, disokong kemudahan yang sesuai di tempat kerja untuk menggalakkan perkembangan kerjaya saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Graduan Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Komunikasi Antarabangsa dalam bidang Filem dan Televisyen UNM, Brendan Chew Yiun Cherk juga bersetuju dengan pandangan Damia.
“Saya menghargai majikan dan tempat kerja yang mendorong pertumbuhan dan kemajuan kerjaya yang mantap bagi kakitangannya, memberi peluang untuk para graduan berkembang maju.
"Ini boleh dilakukan menerusi kursus, peluang membina jaringan, aktiviti bina semangat, program pertukaran, dan sesi maklum balas (dengan tindakan yang sesuai). Ketelusan juga sangat penting,” katanya.
Tambahnya, produktiviti boleh dicapai tanpa perlu menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan jiwa kakitangan secara keseluruhan.
Provos Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif UNM, Profesor Sarah Metcalfe, percaya bahawa universiti berperanan untuk mempersiapkan bakat-bakat muda yang mempunyai pandangan global untuk membina kerjaya yang berdaya saing, menerajui tempat kerja masa depan dan menjana nilai kepada majikan mereka. - DagangNews.com








