foodpanda sumbang RM200,000 untuk pulihara panda di Zoo Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

foodpanda sumbang RM200,000 untuk pulihara panda di Zoo Negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - foodpanda Malaysia menyumbang sebanyak RM200,000 bagi usaha memulihara haiwan terancam, iaitu panda di Zoo Negara.

 

Inisiatif selama tiga tahun berturut-turut itu adalah sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) foodpanda untuk menjaga kebajikan dan keselesaan haiwan berkenaan.

 

Pengarah Kanan Komersial foodpanda Malaysia, Jay Ar Juan berkata, beliau gembira dapat bekerjasama sekali lagi dengan Zoo Negara.

 

Beliau berkata, segalanya bermula pada 2020 apabila mereka menyahut seruan Zoo Negara yang meminta orang ramai dan sektor korporat mengambil haiwan-haiwan di situ sebagai haiwan angkat, ekoran tempoh penutupan zoo yang panjang akibat pandemik.

 

Jelasnya, pihaknya komited untuk terus memberikan sumbangan kepada panda gergasi kerana haiwan itu melambangkan jenama foodpanda dengan sifatnya periang.

 

"Tiada cara lebih baik untuk kami melahirkan penghargaan terhadap panda ini selain membantu dan menyokong usaha pemuliharaannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Foodpanda Malaysia juga komited untuk memasang papan tanda arah di sekitar kawasan zoo bagi memudahkan pengunjung mencari Pusat Konservasi Panda Gergasi yang menempatkan panda Xing Xing, Liang Liang dan Sheng Yi.

 

 

foodpanda
Rosly @ Rahmat Amat Lana (kiri) menerima mock cheque sumbangan RM200,000 daripada Jay Ar Juan untuk memulihara panda di Zoo Negara

 

 

Penjenamaan itu akan menjadi papan tanda kekal di Zoo Negara, menambahkan lagi keceriaan di sekitar kawasan berkenaan.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Amat Lana berkata, mereka berasa sangat gembira kerana dapat terus bekerjasama dengan foodpanda. 

 

"Kami sememangnya sangat menyayangi panda kami dan sumbangan ini memberi peluang kepada kami untuk melindungi spesies haiwan berkenaan, membolehkan ia meninggalkan legasinya untuk generasi akan datang. 

 

"Kami merancang untuk menggunakan dana yang disumbangkan oleh foodpanda dengan sebaiknya, seperti untuk penjagaan dan keperluan harian panda berkenaan," katanya. - DagangNews.com