FGV perkenal 3 produk baharu SAJI | DagangNews Skip to main content

FGV perkenal 3 produk baharu SAJI

 (Dari kiri) Ketua Bahagian Hiliran, Zulkifli Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Haris Fadzilah Hassan

(Dari kiri) Ketua Bahagian Hiliran, Zulkifli Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Haris Fadzilah Hassan

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. -  FGV Holding Berhad (FGV) melalui anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOP) memperkenalkan tiga produk makanan terbaharunya di bawah jenama SAJI.

Produk terbaharu itu adalah beras SAJI, gula kasar SAJI dan santan SAJI yang akan dipasarkan pada bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pengenalan produk baharu itu adalah selari dengan pengembangan pihaknya kepada segmen barang pengguna cepat laris (FMCG).

"FGV akan memperkenalkan lebih banyak produk FMCG selari dengan strategi kumpulan untuk menggerakkan segmen hiliran ke segmen makanan berjenama pengguna.

"Kami berhasrat untuk mengembangkan segmen ini menjadi aliran pendapatan yang lebih kukuh, stabil dan mampan," katanya ketika merasmikan pelancaran produk berkenaan.

SAJI adalah jenama unggul minyak masak yang menguasai 40% pasaran Malaysia.

Selain produk baharu itu, SAJI turut mempunyai beberapa produk lain termasuk krimer SAJI, sos SAJI, SAJI mayo, mi segera SAJI dan garam gunung SAJI.

Tambah beliau lagi, pelancaran produk baharu itu juga memberi peluang kepada FGV untuk memanfaatkan kepakarannya dalam bidang pertanian untuk terlibat dalam pengeluaran makanan dan bukan hanya produk berasaskan sawit.

"Pengenalan beras SAJI menandakan kemunculan sulung FGV dalam perniagaan pengeluaran beras. Sebagai permulaan, DOP memasarkan beras istimewa tempatan SAJI dan beras istimewa yang diimport dalam bungkusan 5 dan 10 kilogram (kg).

"Pada masa ini, FGV bekerjasama dengan petani kontrak tempatan berskala besar untuk menghasilkan beras wangi SAJI. Dalam perancangan syarikat, terdapat produk berasaskan beras, termasuk tepung dan mi," katanya lagi.

Manakala gula pasir SAJI pula dihasilkan di bawah kerjasama pintar antara DOP dan anak syarikat FGV yang disenaraikan MSM Malaysia Holdings Berhad yang menyasarkan pengguna setia jenama SAJI.

"Pengenalan santan kelapa SAJI akan memenuhi keperluan dan melengkapkan keperluan dapur rakyat Malaysia kerana ia banyak digunakan dalam masakan. Ia disediakan dalam kotak tetra 200 mililiter (ml) dan 1 liter," tambahnya. - DagangNews.com