FBM KLCI diunjur menuju 1,600 mata menjelang akhir tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FBM KLCI diunjur menuju 1,600 mata menjelang akhir tahun ini

KUALA LUMPUR 18 Julai -  Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meneruskan trajektori menaiknya menuju ke paras 1,600 mata menjelang akhir tahun ini manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang 6%, demikian menurut MIDF Research. 

 

Firma itu berkata, di sebalik prospek AS yang kurang jelas, ekonomi tempatan dijangka terus pulih dengan pendapatan korporat dijangka bertambah baik.

 

Tambahan pula, katanya, kadar inflasi di Malaysia kurang menerima impak yang teruk memandangkan sebahagiannya disebabkan oleh subsidi dan kawalan harga.

 

"Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak akan menjadi agresif seperti rakan sejawatnya di Amerika Syarikat (AS).

 

"Oleh itu, kami mengunjurkan pertumbuhan KDNK tahun ini pada 6% manakala Indeks Harga Pengguna (IHP) 2022 dan kadar dasar semalaman (OPR) masing-masing pada 2.8% dan 2.5%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Penjualan dalam kebanyakan pasaran ekuiti dunia baru-baru ini disebabkan peningkatan risiko kelembapan ekonomi AS.

 

Jangkaan makroekonomi AS yang semakin merosot berpunca daripada pengetatan monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam usahanya untuk meredakan tekanan inflasi yang tinggi (dengan kadar IHP terkininya sebanyak 9.1% pada Mei 2022).

 

Konsensus pasaran turut menjangkakan kadar Fed akan meningkatkan kadar faedah kepada sekurang-kurangnya 3.50% menjelang akhir tahun ini.

 

Ini menyebabkan FBM KLCI merosot daripada 1,560 mata pada awal Jun kepada paras 1,420 mata pada masa ini.

 

Bagaimanapun, MIDF Research berkata, daya tahan makroekonomi negara dan asas pendapatan akan menyaksikan FBM KLCI meneruskan trajektori pertumbuhan terutamanya disumbangkan menerusi Public Bank Bhd. pada 25.5 mata manakala paling kecil pula menerusi Top Glove Corp. Bhd. pada 0.2 mata. 

 

"Perlu diperhatikan juga bahawa Public Bank mempunyai wajaran indeks terbesar (pada 14.2%) dalam kalangan semua konstituen FBM KLCI," tambahnya.

 

Menurut firma itu, sektor perkhidmatan kewangan dijangka menjadi penyumbang mata terbesar kepada KLCI, seterusnya sehingga akhir 2022 kerana sektor itu mempunyai wajaran indeks terbesar pada 41.8%.

 

Katanya, 6 konstituen perkhidmatan kewangan (Public Bank, Malayan Banking Bhd., CIMB Group Holdings Bhd., Hong Leong Bank Bhd., RHB Bank Bhd. dan Hong Leong Financial Group Bhd.) dijangka menambah sebanyak 52.2 mata kepada KLCI. 

 

"Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana bank dijangka menjadi penerima manfaat utama daripada pemulihan ekonomi," jelasnya.

 

Selain itu, katanya, sektor pengangkutan dan logistik diunjur menyumbang mata paling rendah kepada KLCI bagi tahun ini dengan konstituen tunggalnya (iaitu MISC Bhd.) mungkin menambah 2.6 mata kepada indeks berkenaan.

 

Namun, secara keseluruhan, MIDF Research menyedari mengenai risiko penurunan yang tinggi terhadap unjuran hadapan terutamanya sekiranya berlaku kelembapan mendadak yang nyata di AS dan ekonomi utama yang lain.

 

"Tetapi, kami kekal positif terhadap prospek hasil dan makroekonomi sekurang-kurangnya hingga akhir tahun ini," katanya. - DagangNews.com