ESSB lancar kereta buggy solar, realisasikan hasrat Pelabuhan Kemaman sebagai pelabuhan hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ESSB lancar kereta buggy solar, realisasikan hasrat Pelabuhan Kemaman sebagai pelabuhan hijau

Penggunaan kereta buggy tenaga solar bakal memberi penjimatan dalam aspek pengurusan kos EPIC Bhd untuk jangka masa panjang. - Gambar DagangNews
oleh HUSNA ABDULLAH

KEMAMAN 21 Sept - Epic Solar Sdn Bhd (ESSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), melakar satu lagi sejarah dengan inovasi baharu melancarkan kereta buggy menggunakan tenaga solar.

 

Pengurus Besar ESSB, Fuaad Mohamed Nawawi berkata kereta buggy dikenali sebagai EPIC Solar Car (ESCAR) itu adalah hasil kolaborasi bersama Kolej Universiti TATI yang bertujuan mempromosikan pembangunan mampan dengan mengurangkan pelepasan karbon dan mempromosikan tenaga boleh diperbaharui. 

 

Menurutnya, kereta buggy itu pada awalnya dirancang untuk kegunaan operasi di ladang solar ESSB sebagai alternatif pengangkutan yang lebih mesra alam berbanding kenderaan konvensional. 


 

epic
Fuaad Mohamed Nawawi (dua dari kanan) dan Muhtar Suhaili (dua dari kiri) ketika majlis perasmian ESCAR di Kemaman pada 20 September 2023.

 


"Insya-Allah, penggunaannya akan diperluaskan ke sekitar kawasan Pangkalan Bekalan Kemaman dan akan digunakan sebagai kenderaan pelancongan. 

 

"Projek ini masih dalam penyelidikan untuk meningkatkan kapasiti dan ciri-ciri sedia ada seperti pemantauan masa nyata bateri dan sistem Penjejakan Penentududukan Global (GPS). 

 

"Bagi jangka masa panjang pula, penggunaannya akan membantu dalam penjimatan kos operasi syarikat," katanya ketika berucap di majlis perasmian ESCAR di Kemaman semalam.

 

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili; Pengerusi ESSB, Tengku Amran Tengku Awang dan Pengarah ESSB, Hazri Jusoh.

 

Projek tersebut yang bermula pada November 2022 diketuai oleh Fuaad dan Ketua Penyelidik UC TATI, Prof. Madya Ts. Dr. Ruzlaini Ghoni.


 

Muhtar Suhaili
                                Muhtar Suhaili

 


Sementara itu, Muhtar pula berkata, projek ESCAR itu akan menjadi satu lagi peristiwa yang bersejarah buat Kumpulan EPIC kerana ia selari dengan saranan pihak kerajaan untuk memulihara alam sekitar melalui penggunaan tenaga solar.

 

"Ia juga bertepatan dengan aspirasi EPIC Berhad untuk mentransformasi pengoperasian dan pembangunan Pelabuhan Kemaman ke arah menjadikannya sebuah pelabuhan hijau lengkap dengan fasiliti yang dijanakuasakan dengan tenaga solar dan hab digital pintar.

 

"Kami sangat menggalakkan kerjasama pintar untuk terus berganding bahu bagi membuat lebih banyak inovasi kenderaan berteknologi canggih yang menggunakan tenaga solar pada masa akan datang," katanya. 


 

epic

 

epic
Ladang solar milik ESSB di Kemaman, Terengganu

 


EPIC Bhd yang ditubuhkan pada 17 Januari 1981, adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Terengganu yang menyediakan perkhidmatan minyak dan gas berintegrasi untuk industri huluan  dan hiliran.

 

Perniagaan terasnya adalah dalam memberikan perkhidmatan industri minyak dan gas luar pesisir, termasuklah pengurusan pelabuhan, kejuruteraan dan perkhidmatan marin, perkhidmatan kejuruteraan serta penyelenggaraan industri tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.  - DagangNews.com