KUALA LUMPUR 14 April - Esports Players League (ESPL) yang berpangkalan di Singapura, baru-baru ini mengumumkan usaha kolektif dengan Yield Guild Games Southeast Asia (YGG SEA) sebagai sebahagian daripada visinya untuk menghimpunkan pemain permainan mata wang kripto, NFT (non-fungible token) dan sfera metaverse.
Usaha sama tersebut mempunyai sasaran untuk menghasilkan 300,000 pemain di bawah ESPL dan SEDANIA Innovator Berhad.
Mengulas mengenai prospek ESPL dan bagaimana ia selari dengan tumpuan Kumpulan terhadap teknologi, Pengasas dan Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pihaknya telah bekerjasama rapat dengan ESPL untuk memacu pembangunan Esports yang mampan.
“Adalah penting untuk kami menemui teknologi berdaya maju yang kritikal kepada Metallers kerana ia dipercayai akan mempertingkatkan visi kami terhadap ESPL sebagai platform tumpuan yang menyediakan pengalaman lebih teruja kepada pemain.
"Menerusi usaha kolektif kami bersama YGG SEA, kami boleh salurkan pertumbuhan dengan membina asas Metaverse yang mampan dengan ESPL mengambil peranan sebagai peneraju komuniti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SEDANIA mula menceburi e-sukan pada 2019 selepas mengasaskan ESPL menerusi pelaburan dalam Esports Pte Ltd, dengan pegangan Kumpulan pada masa ini adalah 36.21%.

ESPL menganjurkan kejohanan untuk penerbit permainan video terkemuka, termasuk Riot Games, Supercell, Tencent, Sky Mavis, dan banyak lagi.
Sebagai platform Esports yang didorong oleh komuniti, ESPL sedang berusaha mencapai matlamat utamanya menjadi platform pilihan utama untuk kejohanan permainan video meliputi semua genre dalam Metaverse.
Ketua Pegawai Eksekutif ESPL, Daryl pula berkata, teknologi telah membawa industri Esports ke penanda aras yang baru dan menakjubkan.

"Dengan Web 3.0 yang kini sedang dibangunkan, lebih banyak pembangunan ESPL dan kejohanan boleh dianjurkan menerusi Metaverse dengan ganjaran dan hadiah diserahkan secara serta-merta sebaik
pertandingan selesai," katanya.
Katanya, ESPL akan menganjurkan beberapa siri kejohanan yang lebih maju melibatkan permainan NFT dan Metaverse yang sudah dibangunkan di peringkat global seperti Axie Infinity oleh Sky Mavis.
"Kami optimistik bahawa kejayaan menerusi kejohanan yang dianjurkan pada masa ini akan menjadi isyarat dalam kalangan pemain video untuk terus berusaha mengembangkan pangkalan kami.
"Usaha sama ini akan membolehkan ESPL memberi tumpuan menjayakan 3Gs (Syarikat menghasilkan permainan video, Pemain, dan Persatuan) untuk membina ekosistem mampan dengan melancarkan beberapa NFT menarik dan projek membabitkan mata wang kripto selain daripada kejohanan permainan video," katanya. - DagangNews.com








