KUALA LUMPUR 13 Dis - Eksport terkumpul produk lateks bukan sarung tangan meningkat 0.16% pada suku ketiga 2022 kepada RM6.88 bilion berbanding RM6.87 bilion pada 2021, demikian menurut Majlis Getah Malaysia (MRC).
Bagaimanapun, eksport produk lateks sarung tangan merosot kepada RM21.858 bilion berbanding RM52.204 bilion pada tahun sebelumnya.
Pembangunan produk lateks bukan sarung tangan terus memberi kesan positif kepada keseluruhan sektor keluaran getah dengan berkembang 39.4% pada suku tersebut kepada RM1.81 bilion daripada RM1.3 bilion tahun lalu.
Antara contoh produk lateks bukan sarung tangan adalah produk busa, benang lateks, kateter, kondom dan mainan getah.
Mainan getah telah menyaksikan pertumbuhan terbesar pada suku ketiga itu, meningkat 155% kepada RM83.6 juta daripada RM32.8 juta dalam tempoh yang sama pada 2021.
Produk busa meningkat 153.5% kepada RM274.3 juta pada suku ketiga 2022 berbanding RM108.2 juta dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad berkata, hasil operasi amat positif seperti yang dapat dilihat dengan peningkatan dalam eksport barangan getah am
dan industri ke Filipina, Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura pada suku ketiga 2022.
“Untuk mengukuhkan dan mengekalkan trend positif ini, kami akan mendalami produk busa yang memacu pertumbuhan produk lateks bukan sarung tangan,” katanya seperti dilapor Bernama hari ini.
Menurutnya, MRC telah melancarkan pelbagai inisiatif sejak awal tahun ini untuk membantu memperkasakan industri getah tempatan secara keseluruhan dan meningkatkan tahap produk getah supaya dapat bersaing di pasaran global.
Pada September lalu, MRC memeterai kerjasama antara Green Space Industries, Cranfield University dan Levidian Nanosystem Ltd di Bedford, United Kingdom, ia adalah komponen rancangan MRC untuk meningkatkan kaliber dan martabat barangan getah Malaysia.
"Hasil daripada keupayaan kami untuk mencipta komposit yang bernilai tinggi dan menggabungkannya dengan getah asli untuk menghasilkan belon aeroangkasa yang sangat kukuh dan mampan, lebih banyak peluang akan terbuka untuk kami," katanya.
Selain itu, pada November 2022, MRC bersama beberapa syarikat tempatan telah menyertai MEDICA di Düsseldorf, Jerman, ia adalah salah satu pameran perdagangan perubatan terbesar di dunia.
MRC juga menganjurkan Program Maklumat TARGET bersama pekebun kecil getah dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup pekebun kecil getah.
Dalam salah satu program TARGET, MRC telah menghulurkan sumbangan bernilai hampir RM26,000 kepada komuniti pekebun kecil di Kuantan, Pahang. - DagangNews.com








