Eksport Malaysia Feb 2024 turun hampir RM1 bilion, P. Pinang, KL catat penyusutan terbesar - DOSM | DagangNews Skip to main content

Eksport Malaysia Feb 2024 turun hampir RM1 bilion, P. Pinang, KL catat penyusutan terbesar - DOSM

Prestasi eksport Malaysia pada Februari 2024 bernilai RM111.3 bilion, turun sebanyak RM939.5 juta atau -0.8% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. /Gambar hiasan FB Penang Port
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Mac - Prestasi eksport Malaysia pada Februari 2024 bernilai RM111.3 bilion, turun sebanyak RM939.5 juta atau -0.8% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan itu dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM2.2 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (-RM1.2 bilion) dan Johor (-RM658.5 juta).

 

Turut mencatatkan penurunan ialah Sabah (-RM368.4 juta), W.P. Labuan (-RM343.7 juta), Kelantan (-RM182.9 juta), Melaka (-RM156.4 juta), Negeri Sembilan (-RM139.8 juta) dan Perlis (-RM15.9 juta).

 

"Walau bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Sarawak sebanyak RM2.1 bilion, Selangor (+RM460.3 juta), Perak (+RM446.2 juta), Pahang (+RM390.8 juta), Terengganu (+RM361.4 juta) dan Kedah (+RM234.6 juta)," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media susulan penerbitan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Februari 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

dosm

 

ARTIKEL BERKAITAN: Eksport Pulau Pinang turun RM2 bilion pada Jan 2024, Johor meningkat - DOSM

 

Menurut Dr Mohd Uzir,  Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 28.0 peratus, diikuti oleh Johor (21.1%), Selangor (18.2%), Sarawak (10.6%) dan W.P. Kuala Lumpur (4.3%).

 

Semakan ke atas statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan eksport Pulau Pinang berada pada aliran menurun bagi perbandingan bulan ke bulan.

 

 

Pada Disember 2023, eksport Pulau Pinang berjumlah RM37.3 bilion, yang kemudian turun kepada RM34.6 bilion (Januari 2024) dan RM31.2 bilion (Februari 2024).

 

Sementara itu, beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Dr. Mohd Uzir memaklumkan import pada bulan Februari 2024 meningkat RM7.8 bilion (+8.4%) berbanding bulan yang sama pada 2023. 

 


Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu W.P. Kuala Lumpur (+RM2.3 bilion), Selangor (+RM1.2 bilion), Pulau Pinang (+RM1.1 bilion), Negeri Sembilan (+RM1.0 bilion), Kedah (+RM1.0 bilion), Sarawak (+RM599.6 juta), Johor (+RM426.9 juta), W.P. Labuan (+RM285.4 juta), Sabah (+RM281.6 juta) dan Perak (+RM155.7 juta). 

 

Walau bagaimanapun, nilai import jatuh di Melaka sebanyak RM621.5 juta, Pahang (-RM171.8 juta), Kelantan (-RM34.8 juta), Perlis (-RM27.2 juta) dan Terengganu (-RM23.6 juta).

 

Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 25.3 peratus, diikuti oleh Johor (24.4%), Pulau Pinang (20.9%), W.P. Kuala Lumpur (8.1%) dan Kedah (5.6%).

 

Keseluruhnnya, Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM211.8 bilion pada Februari 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM111.3 bilion dan RM100.5 bilion. - DagangNews.com