Ekonomi 2023 masih berdepan prospek lemah, tidak menentu - Public Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi 2023 masih berdepan prospek lemah, tidak menentu - Public Investment

Ekonomi Malaysia masih berdaya tahan dengan permintaan domestik akan memacu pertumbuhan. - Gambar hiasan : Facebook RapidKL
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Dis - Ketidaktentuan sepanjang tahun ini akan memberi tempias kepada pertumbuhan pada 2023 yang akan menyaksikan persekitaran pasaran tidak menentu dan lemah dipengaruhi pelbagai faktor walaupun ia mungkin meningkatkan keyakinan dalam bursa tempatan, demikian menurut Public Investment Bank Research.

 

Pertumbuhan pada separuh pertama kekal kekal tidak menentu kerana ekonomi global bergelut mengharungi kesan penuh kenaikan kadar yang agresif sepanjang enam bulan lalu, dengan sesetengahnya dijangka mengalami kemelesetan.

 

Sentimen lemah, tetapi pasaran juga dinilai agak rendah dengan gambaran pendapatan tidak diubah secara mendadak selepas musim laporan kewangan suku ketiga berakhir walaupun berhati-hati dengan risiko yang lebih tinggi.

 

"Kami tidak akan tergesa-gesa untuk memasuki pasaran pada ketika ini, tetapi cukup untuk mengekalkan keyakinan yang boleh mencadangkan pembelian terhadap kelemahan pasaran dengan kenaikan menjelang separuh kedua 2023.

 

"Dalam hal ini, kami berhati-hati tetapi tidak pesimis kerana isu yang mempengaruhi prospek pada 2022 dijangka berterusan pada tahun hadapan (walaupun pada tahap yang berbeza-beza dan mungkin berkurangan)," katanya dalam laporan strategi prospek 2023 yang dikeluarkan Jumaat lalu.

 

 

gambar hiasan

 

 

Ekonomi global sedang mengalami kelembapan pertumbuhan yang lebih mendadak daripada jangkaan serta inflasi berterusan, kerana ketidaktentuan terus menghalang prospek untuk separuh pertama 2023.

 

Dengan permintaan pengguna pasca COVID-19 yang berlebihan, inventori runcit yang melambung dan inflasi menjadi lebih tinggi berbanding beberapa dekad yang terus menjejaskan pertumbuhan global pada 2023.

 

Public Investment percaya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global akan perlahan di bawah 3%, sejajar ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sekitar 2.7%.

 

"Meskipun ekonomi China akan meningkat tetapi kekal tidak menentu pada 2023. Melangkah ke hadapan, beberapa risiko menurun kepada ekonomi global, pada pendapat kami, kebanyakannya akan dipengaruhi prospek ekonomi China," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Firma itu menjangkakan KDNK Malaysia akan menyederhana kepada 3.8% pada 2023 berbanding pertumbuhan 8% bagi 2022 ekoran kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan di tengah-tengah persekitaran tidak menentu.

 

Namun, katanya, ekonomi Malaysia masih berdaya tahan dengan permintaan domestik akan memacu pertumbuhan di sebalik kelemahan persekitaran global, penting bagi menangani eksport yang lebih perlahan pada 2023. 

 

"Kami percaya pertumbuhan penggunaan swasta yang merangkumi kira-kira 60% daripada KDNK akan menjadi enjin utama pertumbuhan disokong pasaran buruh, pertumbuhan pendapatan dan pengembangan runcit dan borong yang stabil.

 

"Walaupun kadar dasar semalaman (OPR) dijangka terus meningkat, kami percaya ia hanya memberi impak minimum kepada prospek perbelanjaan domestik," katanya.

 

 

BNM

 

 

Memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) memberi amaran tentang risiko penurunan yang semakin meningkat ekoran prospek pertumbuhan ekonomi bagi faktor luaran dan dalaman, Public Investment mengekalkan pandangan bahawa bank pusat itu berkemungkinan akan meneruskan kitaran normalisasi dasar monetarinya walaupun dalam cara yang lebih beransur-ansur.

 

Bagaimanapun, jelasnya, BNM tidak mungkin mengikut jejak langkah Amerika Syarikat (AS) dan bank pusat Asia yang lain dengan menaikkan kadar faedah dengan ketara pada 2023.

 

"Kami menjangkakan kadar ini akan dinaikkan pada separuh pertama 2023 kepada 3% (berbanding ketika ini pada 2.75%) dalam mesyuaratnya pada Januari," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengunjurkan FBM KLCI akan berlegar pada 1,650 mata menjelang akhir 2023 manakala ringgit pula lebih mengukuh pada RM4.30 hingga RM4.35 berbanding dolar AS memandangkan Rizab Persekutuan AS mengurangkan pendirian tegasnya terhadap kadar faedah. - DagangNews.com