EDOTCO lantik Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar sebagai Pengerusi Shahzan Alam Muda | DagangNews Skip to main content

EDOTCO lantik Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar sebagai Pengerusi Shahzan Alam Muda

Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 April - Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Pengerusi Shahzan Alam Muda Sdn. Bhd.

 

Shahzan Alam Muda merupakan anak syarikat EDOTCO Malaysia dan satu-satunya Agensi Setempat (O.S.A) yang bertanggungjawab terhadap semua pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri Pahang.

 

Berikutan pengambilalihan EDOTCO Malaysia ke atas Touch Mindscape Sdn. Bhd. daripada Touch Group Holdings pada Disember 2021, EDOTCO kini memegang 80% pegangan pemilikan dalam Shahzan Alam Muda.

 

Tengku Muhammad Iskandar, 27, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Antarabangsa dari University of Buckingham, United Kingdom.

 

Beliau pernah bertugas di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia pada tahun 2015 dengan memfokuskan kepada ekonomi, perdagangan, integrasi serantau, dasar luar dan kajian keselamatan. 

 

 

 

 

Anakanda Sultan Pahang itu yang dilahirkan pada 3 Ogos 1997 juga berkhidmat sebagai Wakil Kerabat Diraja dengan Majlis Adat Istiadat Negeri Pahang.

 

EDOTCO berkata, Shahzan Alam Muda bersedia untuk merevolusikan operasinya di bawah kepimpinan dinamik Tengku Muhammad Iskandar untuk menjadi penanda aras bagi O.S.A. di seluruh negara, didorong oleh data dan inovasi digital. 

 

"Shahzan Alam Muda komited untuk menerajui pelancaran infrastruktur telekomunikasi di Pahang, memastikan akses saksama kepada ketersambungan digital yang boleh dipercayai sambil mengutamakan kemampanan dan infrastruktur hijau. 

 

"Syarikat itu akan menyokong matlamat kemampanan negeri dengan memperkenalkan perancangan permintaan digital untuk mengenal pasti jurang liputan rangkaian menggunakan analisis lanjutan, dengan itu memudahkan peluang perkongsian infrastruktur, menghapuskan menara telekomunikasi yang bertindih dan meningkatkan nilai landskap negeri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya, Tengku Muhammad Iskandar berkata, beliau berbesar hati untuk menerajui Shahzan Alam Muda dalam misi untuk mempercepatkan pembangunan sambungan digital di seluruh Pahang. 

 

Kata beliau, ini kerana semua pihak menyedari peranan penting yang dimainkan oleh ketersambungan dalam memupuk pertumbuhan sosioekonomi.

 

"Melalui kerjasama strategik dengan Kumpulan EDOTCO, kami akan memanfaatkan kepakaran dan sumber kami untuk merapatkan jurang digital, meningkatkan infrastruktur inovatif, dan memacu Pahang ke arah masa depan digital yang makmur,” jelasnya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EDOTCO, Adlan Tajudin berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan pelantikan Tengku Muhammad Iskandar sebagai Pengerusi Shahzan Alam Muda dan memegang keyakinan teguh terhadap keupayaan syarikat untuk meningkatkan landskap infrastruktur digital negeri dengan ketara di bawah bimbingan beliau. 

 

"Dengan peningkatan dalam standard muat turun minimum oleh kerajaan baru-baru ini kepada 7.7mbps daripada 2.5mbps, keperluan mendesak untuk menangani jurang ketersambungan di Pahang semakin ketara. 

 

"Pada masa ini, Pahang ketinggalan pada 65% liputan 5G di kawasan berpenduduk, berbanding purata nasional sebanyak 80.2%," ujarnya.- DagangNews.com