ECERDC sasar pelaburan RM3 bilion di Kelantan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ECERDC sasar pelaburan RM3 bilion di Kelantan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Koordinasi Pelaksanaan ECER (ICC) Negeri Kelantan semasa mesyuarat di Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan pada 9 Mac 2023
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KOTA BHARU 9 Mac - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan pelaburan RM3 bilion di Kelantan tahun ini yang dijangka mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan di negeri itu.

 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yakin lebih ramai pelabur akan mengambil peluang dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan sejak diperkenalkan dua tahun lalu.

 

Menurut beliau, pelabur yang layak boleh menikmati kadar cukai pendapatan 0% selama 15 tahun dan lanjutan lima tahun lagi pada kadar istimewa 17%.

 

 

ecerdc

 

 

Selain itu, individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan utama dalam syarikat yang termasuk di bawah inisiatif ini hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15% sebagai insentif tambahan untuk meningkatkan daya saing negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, “Sehingga Februari 2023, ECERDC mencapai pelaburan komited sebanyak RM1.1 bilion dalam dan saya yakin ECERDC dapat mencapai sasaran pelaburan untuk tahun ini.

 

Saya juga percaya ECERDC akan dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pertanian ke Kelantan dan ini mampu menyokong agenda keterjaminan makanan kerajaan,” tambahnya.

 

Di dalam kenyataan yang sama, ia telah memaklumkan hasil mesyuarat Ahli Jawatankuasa Koordinasi Pelaksanaan ECER (ICC) Kelantan, di mana inisiatif ECERDC dengan kerjasama kerajaan negeri untuk mendaftarkan Masjid Kampung Laut, yang berjaya dipindahkan dari Nilam Puri ke Kampung Laut tahun lepas sebagai Monumen Warisan Negara.

 

 

ecerdc

 

 

Manakala, projek Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (Pakej 3) dijangka siap pada akhir bulan April 2023, membuka peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti hiliran perikanan.

 

Selain itu, program Yayasan Petronas empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan akan dikendalikan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) di Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Krai dan Machang.

 

Program tersebut melibatkan 800 peserta daripada komuniti B40 untuk meningkatkan kebolehpasaran dan membangunkan usahawan baharu .

 

Sementara itu, program Yayasan Petronas entrepreneur ECER yang dikendalikan oleh SIRIM akan melatih 45 usahawan PKS di Kelantan meningkatkan kualiti produk, pembungkusan dan penjenamaan. -DagangNews.com