eBOSS, Allianz, PolicyStreet jalin kerjasama tawar insurans untuk pengguna myLivin’ Home | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

eBOSS, Allianz, PolicyStreet jalin kerjasama tawar insurans untuk pengguna myLivin’ Home

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Mac - eBOSS Technology Sdn. Bhd. mengumumkan kerjasamanya dengan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) dan PolicyStreet.com untuk menyediakan perlindungan bagi pemilik rumah yang membuat pembayaran yuran penyelenggaraan dan dana pembaikan secara digital menerusi platform myLivin’ Home.

 

Berkuatkuasa 1 Februari lalu, pemilik-pemilik rumah terbabit akan menerima perlindungan secara automatik untuk yuran penyelenggaraan dan dana pembaikan hartanah mereka sekiranya berlaku kematian tidak sengaja atau kehilangan upaya kekal dengan nilai perlindungan sehingga RM16,000.

 

eBOSS juga berhasrat untuk membantu komuniti tersebut menyelesaikan masalah kadar pengumpulan yuran penyelenggaraan mereka yang rendah. 

 

Antara isu-isu yang berkaitan adalah penipuan dan transit tunai, ketidakselesaan dalam membuat pembayaran dan kesilapan dalam transaksi pembayaran. 

 

Sejak dua tahun lalu, platform myLivin’ Home telah membantu komuniti-komuniti untuk mengumpul yuran penyelenggaraan dan dana pembaikan secara dalam talian, termasuklah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana pejabat pengurusan hartanah ditutup akibat kes-kes COVID-19. 

 

Terdapat peningkatan tinggi dalam pembayaran yang dibuat secara digital menerusi platform itu semasa PKP tersebut. Kadar pengumpulan secara dalam talian juga telah memperoleh peningkatan bulan demi bulan sebanyak 30% sejak dua tahun lepas.

 

eBOSS merupakan yang pertama di dalam pasaran industri pengurusan hartanah yang menyediakan perlindungan tersebut. Mereka percaya bahawa perkhidmatan tambahan itu mampu menggalakkan lebih banyak lagi aktiviti pembayaran secara dalm talian dan sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap pembayaran secara manual. 

 

Ia juga mampu mengurangkan risiko kehilangan yuran penyelenggaraan bagi pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) sekiranya berlaku kemalangan terhadap pemilik-pemilik rumah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif eBOSS, Angela Kew berkata, syarikat amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Allianz General dan PolicyStreet.com untuk projek tersebut. 

 

 

eboss
Angela Kew

 

 

"Kami percaya inisiatif ini akan menyaksikan lebih banyak peralihan transaksi pembayaran kepada digital di dalam industri pengururusan hartanah. Kami senang hati dengan sokongan yang diberikan oleh Allianz General dan  rakan kongsi teknologi insurans kami, PolicyStreet.com dalam memudahkan keseluruhan projek ini,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang pula berkata, bahawa syarikat tersebut sentiasa mencari rakan-rakan kongsi yang mampu mempelbagaikan lagi medium untuk Allianz General menawarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pelanggan.

 

 

allianz
Sean Wang

 

 

“Matlamat kami adalah untuk menjalinkan perkongsian yang saling menguntungkan dengan rakan-rakan kongsi yang amat mementingkan keutamaan pelanggan. Allianz General sentiasa berpegang pada prinsip ini dan akan terus menekankan perkara tersebut. Perkongsian kami bersama eBOSS dan PolicyStreet.com ini adalah buktinya,” katanya.

 

Menurut Pengasas Bersama PolicyStreet.com, Wilson Beh, pihaknya berasa senang hati untuk menyediakan penyelesaian perlindungan yang inovatif untuk myLivin’ Home bagi memberikan kelegaan minda kepada pemilik-pemilik rumah yang menggunakan platform pengururan hartanah itu. 

 

"Kami berusaha untuk memastikan insurans akan kekal relevan untuk pelbagai keperluan gaya hidup," katanya. - DagangNews.com