Dutch Lady hadapi cabaran kenaikan harga produk susu | DagangNews Skip to main content

Dutch Lady hadapi cabaran kenaikan harga produk susu

Ramjeet Kaur Virik
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 1 Jun - Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) memberi amaran berkemungkinan berlaku lebih banyak kenaikan harga kepada pengguna ekoran kos inflasi yang melonjak.

 

Pengarah Urusannya, Ramjeet Kaur Virik berkata, beliau menyedari pengeluar produk tenusu itu menghadapi masalah di seluruh industri berikutan gangguan rantaian bekalan global, inflasi global dan turun naik harga bahan mentah.

 

"Isu-isu ini menimbulkan cabaran kepada kumpulan kerana ia bertujuan untuk memastikan produknya mampu milik untuk pengguna.

 

"Perlu diingatkan bahawa Dutch Lady telah melaksanakan beberapa kenaikan harga tahun lalu dan awal tahun ini untuk beberapa produk," katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Susu Sedunia dan Hari Raya Aidilfitri 2022 anjuran DLMI, hari ini.

 

Ramjeet berkata, Dutch Lady akan terus memantau pasaran dan sentimen penggunanya.

 

“Tenusu bukanlah produk kawalan harga. Sudah tentu kami memantau apa yang berlaku di pasaran dan kepada pengguna kami.

 

"Tiada peraturan, jadi terpulang kepada kita. Tetapi apa yang kita buat sebagai syarikat tenusu nombor satu di Malaysia, orang lain akan ikut, jadi tanggungjawab ada pada kita,” katanya.

 

 

dlmi
Ramjeet Kaur Virik melayani para tetamu yang hadir pada pada sambutan Hari Susu Sedunia dan Hari Raya Aidilfitri 2022 anjuran DLMI di Putrajaya hari ini.

 

 

Ramjeet berkata, pihaknya sentiasa menilai dan mengimbangi antara harga produk dan struktur kos.

 

"“Dalam Dutch Lady, saya memanggilnya segitiga. Di satu pihak, kita perlu menyuburkan negara dengan produk tenusu mampu milik, itulah tujuan kita. Sebaliknya, kami mempunyai komitmen kami kepada pemegang saham yang mencari keuntungan.

 

"Ia adalah pengimbangan kedua-duanya dan harga adalah hasil daripada itu. Mengimbangi harga dan keuntungan akan berterusan, tetapi jangkaan saya ialah ia masih sukar bagi kami kerana gangguan rantaian bekalan global masih berlaku," katanya. - DagangNews.com