KUALA LUMPUR 29 Sept – Adakah dunia memerlukan satu lagi perjanjian Plaza atau Plaza Accord seperti mana yang berlaku pada 1985?
Jadi, ini jawapan Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed kepada DagangNews.com. ketika diminta mengulas mengenai langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan dalam menangani kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang sedang hangat diperkatakan sekarang.
"Demi kestabilan dan konsistensi dalam pasaran kewangan, negara yang terjejas akibat daripada kenaikan berterusan dolar AS ketika ini, perlu mengadakan kesepakatan bagi menilai semula nilai mata wang masing-masing terhadap dolar.
“Pada pendapat saya, ekonomi global memerlukan satu lagi campur tangan yang diselaraskan untuk menilai semula mata wang untuk membawa kestabilan dan konsistensi dalam pasaran kewangan,” jelasnya.

Perjanjian Plaza atau Plaza Accord adalah satu kesepakatan antara kerajaan-kerajaan Perancis, Jerman Barat, Jepun, AS dan United Kingdom (UK) berikutan susut nilai ke atas dolar AS terhadap yen Jepun dan Mark Jerman, melalui campur tangan dalam pasaran pertukaran asing.
Ia dinamakan Plaza Accord apabila kelima-lima kerajaan menandatangani kesepakatan tersebut pada 22 September 1985 di Hotel Plaza, New York.
Penyusutan nilai dolar ini bertujuan mengurangkan defisit akaun semasa AS dan membantu ekonomi negara itu keluar daripada kemelesetan yang bermula pada awal 1980-an.
Menurut Shan, kejatuhan nilai mata wang tidak hanya eksklusif kepada ringgit, sebaliknya melibatkan banyak lagi mata wang lain, antaranya termasuklah Euro, Pound Sterling, Yen, Yuan, Sterling dan Swiss Franc.
"Kejatuhan mata wang tersebut bukan disebabkan ia melemah, sebaliknya dolar AS yang terus mengukuh,” katanya.

Bank of England telah mengambil tindakan kecemasan untuk meredakan kegawatan dalam pasaran kewangan akibat kejatuhan teruk pound berbanding dolar AS.
Shan berkata, dasar monetari berkesan masih berfungsi bagi membendung inflasi di Asia tetapi bukan bagi ekonomi negara maju seperti UK atau US.
Ini dicerminkan dalam keluaran terbaru majalah Economist bertarikh 24 September 2022 muka surat 84 di mana inflasi di Asia masih dalam satu digit manakala dalam ekonomi maju, ia akan mencecah dua angka yang membawa Eropah dan Amerika Utara ke dalam kemelesetan yang teruk.
Mengulas lebih lanjut, Shan berkata, dasar kewangan yang berkesan seharusnya akan dapat membendung kadar inflasi.
“Sebab mengapa inflasi menurun di Asia manakala lebih tinggi di Eropah dan AS adalah disebabkan oleh pembuatan barangan.
"Asia menghasilkan lebih banyak barangan, mendapat pembuatan dan lebih banyak perkhidmatan dalam ekonomi global.
“Sementara, Eropah dan Amerika Utara bergantung kepada Asia untuk mengimport makanan, barangan dan perkhidmatan serta pembuatan untuk ekonomi mereka," jelasnya.

Beliau mempertahan bahawa kadar inflasi Malaysia masih berada di paras terkawal jika dibandingkan negara lain walaupun terdapat rungutan dari pelbagai pihak berpendapat sebaliknya.
Menurutnya, dasar monetari tidak berfungsi di Eropah, UK dan AS kerana ia telah dihadkan, sebaliknya di Asia, bank pusat mempunyai ruang untuk bergerak dalam landskap dasar monetari.
"Kenaikan dolar AS menjejaskan perdagangan dan perdagangan global. Nilai dolar AS telah meningkat kira-kira 2.5% sepanjang bulan lalu sahaja, dan sebanyak 16% setakat ini," tambahnya.
Di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memainkan peranannya dengan bijak dan dapat memenuhi mandat pertumbuhan dan kestabilan harga di negara ini.
Ekonomi global telah menyaksikan 87 bank pusat global telah menaikkan kadar faedah.
Secara purata, kenaikan kadar 150 mata asas (bps) telah berlaku di seluruh dunia. BNM baru sahaja menaikkan 75 bps dengan kadar dasar semalam (OPR) berada pada 2.5%.
"Kami di Juwai IQI terus mengekalkan status quo kami mengenai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjangkakan pertumbuhan Malaysia berliku-liku sekitar 6.5% hingga 7% pada 2022.
"Malaysia kekal dalam radar pelabur global berikutan kestabilan makroekonomi dan keyakinan ekonomi daripada pihak berkepentingan," tegasnya. - DagangNews.com








