KUALA LUMPUR 8 Mac - Syarikat perundingan strategi jenama terkemuka, Brand Soul Malaysia dengan kerjasama Robotic Marketer melancarkan platform strategi pemasaran yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) yang pertama di dunia.
Diiktiraf kerana pembinaan jenama mampan dan formulasi strategi pemasarannya, kerjasama baharu tersebut merupakan usaha pimpinan wanita oleh Pengasas Brand Soul Malaysia, Stella Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif Robotic Marketer, Mellissah Smith untuk melangkah ke arah pemasaran masa hadapan.
Brand Soul berhasrat untuk mengubah landskap penjenamaan dan pemasaran dengan menjadi rakan kongsi jenama dan pemasaran AI mampan bagi perniagaan kian berkembang, membantu mereka memanfaatkan teknologi AI dan ChatGPT bagi memperoleh pulangan pelaburan (ROI) pemasaran lebih baik.
Stella berkata, beliau teruja menjadi pemegang lesen terkemuka Robotic Marketer di Malaysia bagi meluaskan penyediaan perkhidmatan pihaknya.
"Menerusi teknologi ChatGPT yang menjadi bualan dalam hampir setiap industri, kami berhasrat untuk menjadi syarikat perundingan penjenamaan dan pemasaran pertama di Malaysia yang meletakkan teknologi dan pengalaman sebagai amalan sebenar.
"Matlamat kami adalah untuk membantu para pelanggan berjaya dengan menjadikan pemasaran lebih mudah, lebih efisien dan lebih menjimatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mellissah pula berkata, beliau berbesar hati untuk bekerjasama dengan Brand Soul.

"Sewaktu kami berhasrat untuk berkembang ke Asia, kami mencari syarikat berwawasan yang menggunakan teknologi untuk memacu prestasi pemasaran yang lebih baik untuk pelanggan mereka," katanya.
Katanya, pihaknya mendapati Brand Soul meraih penghormatan dalam industri menerusi kerjasama dengan syarikat yang memperoleh manfaat daripada pendekatan kreatif mereka dan kempen pemasaran jenama yang mengutamakan prestasi.
Melangkah ke hadapan, Brand Soul bakal melancarkan siri program kesedaran pemasaran AI dan memperkenalkan Program Kerjasama Saluran bagi membantu syarikat perisian dan rakan kongsi saluran mereka membangunkan strategi pasaran untuk membina jenama dan menjana petunjuk.
Syarikat yang bekerjasama dengan Robotic Marketer termasuklah SAP, Oracle, Mitel dan Zift.
Brand Soul juga berupaya menawarkan Robotic Marketer sebagai sebahagian daripada rangkaian perkhidmatan penjenamaan dan pemasarannya, termasuk strategi jenama, identiti jenama, pemasaran digital, pemasaran maklumat dalam talian, penciptaan kandungan dan banyak lagi. - DagangNews.com








