Dialog sasar selesaikan pengambilalihan POEC akhir bulan ini - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dialog sasar selesaikan pengambilalihan POEC akhir bulan ini - AmInvestment

Dialog menjangkakan persekitaran operasi yang mencabar bagi segmen huluan. - Gambar : Facebook Dialog
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Ogos - AmInvestment Bank menjangkakan hasil Dialog Group Bhd. kekal kukuh pada suku keempat berakhir 30 Jun 2022 di sebalik persekitaran operasi yang mencabar ekoran tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan. 

 

Menurut firma itu, prestasi pada suku berkenaan akan dipacu menerusi operasi fasa 5 Pengerang dengan kapasiti 430,000 meter padu (m3) beserta tambahan kapasiti 85,000 m3 daripada terminal Tanjung Langsat 3 pada akhir 2021 disokong aktiviti ekonomi global yang semakin mneingkat.

 

Katanya, dalam jangka panjang, kumpulan masih mempunyai keluasan yang mencukupi untuk menggandakan kapasiti simpanan Pengerang dengan baki zon seluas 500 ekar terdiri daripada tanah boleh tebus guna dan zon penampan bersebelahan.

 

"Bagaimanapun, disebabkan prospek yang masih mencabar bagi operasi huluan Dialog, ia tidak menjangkakan penguncupan margin seterusnya kerana telah mengambil kira kos bahan mentah yang tinggi dalam kontrak sedia ada.

 

"Tambahan pula, penurunan semula harga komoditi baru-baru ini (terutamanya keluli, yang susut 10% sejak akhir Mei 2022) akan membantu meningkatkan margin keuntungan pada suku akan datang, mengurangkan kebimbangan kos pelanggan dan menetapkan semula harga kontrak baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Dialog dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.66 sesaham. 

 

Menurut AmInvestment, kekangan tenaga kerja yang berlarutan dijangka menghalang Dialog daripada mengambil lebih banyak projek. 

 

"Oleh itu, kumpulan akan mengutamakan projek-projek yang sedang berjalan di samping mengambil sikap berhemat dalam menambah nilai kontraknya," jelasnya.

 

Dalam pada itu, firma itu memberitahu, Dialog menyasarkan untuk menyelesaikan pengambilalihan Pacific Orient Energy Corp (POEC) yang bernilai RM170 juta pada akhir bulan ini. 

 

Katanya, POEC hanya akan memberi sumbangan yang ketara pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23).

 

"Pemerolehan POEC, yang boleh menambah 6% kepada pendapatan FY24 kumpulan, menyerlahkan strategi jangka panjang Dialog untuk mempelbagaikan lagi operasinya merentasi rantaian nilai minyak dan gas serta mengurangkan ketidaktentuan pasaran.

 

"Meskipun pengambilalihan itu mungkin tidak menepati profil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kerana kesan karbon tambahan daripada pengeluaran minyak huluan, tetapi Dialog berpendapat aliran tunai POEC yang stabil adalah penting dalam menyediakan Dialog dengan pembiayaan yang diperlukan untuk usaha niaga mampan masa hadapan," katanya.

 

Di samping itu, tambahnya, konsesi POEC yang akan tamat pada 2035, adalah selaras dengan aspirasi kumpulan untuk mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050.

 

Pada Jun lalu, Dialog mengumumkan cadangan pengambilalihan 100% kepentingan dalam POEC yang memiliki 50.01% kepentingan dalam Pan Orient Energy (Siam), operator bagi Konsesi L53/48, di pesisir perairan Thailand.

 

Setakat 10.34 pagi ini, harga sahamnya menokok 2 sen atau 0.9% kepada RM2.24 dengan 604,400 saham diniagakan. - DagangNews.com