KUALA LUMPUR 21 Feb - Pelabur asing masih kekal sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan sepanjang minggu lalu yang menyaksikan aliran masuk berjumlah RM955.85 juta, dipengaruhi data eksport Malaysia yang kukuh.
Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati, dana antarabangsa kekal sebagai pembeli bersih ekuiti bagi tempoh 5 daripada 7 minggu setakat tahun ini.
"Bagi minggu berakhir 18 Februari, ia menandakan minggu kedua berturut-turut pelabur asing membeli ekuiti tempatan dan tertinggi setakat ini," katanya dalam laporan itu hari ini.
Secara keseluruhan, bagi minggu ketujuh 2022 ini, pelabur runcit dan institusi tempatan menjual bersih ekuiti masing-masing sebanyak RM42.02 juta dan RM913.85 juta.
Dari segi nilai purata dagangan harian (ADTV), ia menyaksikan dagangan pelabur runcit meningkat 17.14% diikuti pelabur institusi tempatan (33.07%) dan pelabur asing (4.13%).
MIDF Research mendapati 3 sektor yang menyaksikan aliran masuk asing paling tinggi iaitu perkhidmatan kewangan sebanyak RM311.6 juta, produk perindustrian dan perkhidmatan (RM270.3 juta) dan perladangan (RM242.8 juta).
"Bagi sektor yang mencatat aliran keluar paling tinggi ialah penjagaan kesihatan sebanyak RM18.9 juta, teknologi (RM11.4 juta) dan hartanah (RM6.4 juta)," tambahnya.
Saham Public Bank, CIMB dan Maybank merupakan 3 kaunter pekhidmatan kewangan yang paling banyak diniagakan pelabur asing minggu lalu manakala Press Metal, Petronas Chemical dan Hap Seng Consolidated
pula bagi sektor produk perindustrian dan perkhidmatan.
Untuk kaunter perladangan pula, saham Kuala Lumpur Kepong (KLK), Sime Darby Plantation dan IOI Corp pula paling banyak diniagakan pelabur asing.
"Setakat tahun ini, kami mendapati aliran masuk asing berjumlah RM1.01 bilion, sebaliknya pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing menjual RM40 juta dan RM1.97 bilion ekuiti tempatan," jelasnya. - DagangNews.com








