Dasar monetari yang agresif, inflasi global beri risiko kepada pertumbuhan 2023 - Manulife IM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dasar monetari yang agresif, inflasi global beri risiko kepada pertumbuhan 2023 - Manulife IM

Kebanyakan ekonomi maju dan sensitif dengan kadar faedah akan mengalami kemelesetan pada separuh pertama 2023.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Dis - Kemelesetan global dijangka terus memberi risiko kepada pertumbuhan ekonomi pada 2023 terutamanya disebabkan pengetatan dasar yang agresif, demikian menurut  Manulife Investment Management (Manulife IM).

 

Malah, kebanyakan ekonomi maju dan sensitif dengan kadar faedah akan mengalami kemelesetan pada separuh pertama, manakala Asia mungkin menyaksikan pemulihan perlahan berikutan pembukaan semula ekonomi di China, Hong Kong, Jepun dan Taiwan.

 

 

Sue Trinh
Sue Trinh

 

 

Ketua Bersama Strategi Makro Globalnya, Sue Trinh berkata, separuh pertama 2023 akan menyaksikan beberapa siri ketidaktentuan pasaran yang lebih mendadak dan dalam tempoh lama.

 

Katanya, ia berlaku di tengah-tengah persekitaran makro dipengaruhi inflasi global yang tinggi, ketidakpastian mengenai kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin memuncak dan kemungkinan peningkatan kemelesetan global.

 

"Namun, kita akan menyaksikan tinjauan yang sedikit positif pada separuh kedua 2023 apabila ketidaktentuan ini berkemungkinan sederhana, membawa kepada keadaan yang lebih kondusif untuk pasaran kewangan.

 

"Asas kami ialah kejutan permintaan negatif yang meningkat akan mencukupi untuk melihat kebimbangan pertumbuhan mengatasi kebimbangan inflasi, justeru, boleh memberi laluan kepada Fed untuk lebih 'dovish' dan berpotensi melonggarkan kadar pada suku keempat 2023.

 

"Risiko utama kepada kes asas kami ialah garis masa berkaitan stagflasi, pembukaan semula ekonomi China dan pengukuhan dolar AS," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pelaburan Ekuiti Asia (kecuali Jepun) Manulife IM, Ronald Chan berkata, terdapat tanda-tanda pemulihan dalam ekonomi China memandangkan kerajaan menarik balik beberapa sekatan COVID-19. 

 

Menurutnya, China semakin menghampiri pemulihan apabila langkah pencegahan yang semakin longgar dan penurunan kes COVID-19 disahkan dalam negara.

 

"Di samping itu, kami juga positif terhadap pelaburan tematik jangka panjang, termasuk pembuatan termaju, jentera dan semikonduktor, yang kami lihat terdapat potensi peningkatan dalam permintaan tempatan.

 

"Kami menjadi lebih selektif terhadap tenaga boleh diperbaharui dan penerima manfaat kawalan karbon di rantau ini. 

 

"Untuk menetapkan harga kepada syarikat yang menawarkan nilai hebat dan peluang pertumbuhan di tengah-tengah ketidaktentuan dan asas yang lebih rendah, kami percaya pemilihan akan menjadi kunci pada 2023 dan seterusnya," jelasnya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun inflasi global dijangka menurun secara berperingkat-peringkat tetapi ia masih memerlukan pemerhatian yang teliti. 

 

"Ini kerana kami melihat risiko kemelesetan ekonomi dalam ekonomi maju yang akan terus menambah ketidaktentuan kepada pasaran Asia pada separuh pertama 2023. 

 

"Bagaimanapun, apabila kadar faedah memuncak, prospek keseluruhan akan menjadi lebih jelas," katanya. - DagangNews.com