KUALA LUMPUR 14 Dis - Maybank Investment Bank (IB) menjangkakan saham pengasas Public Bank Bhd., Tan Sri Teh Hong Piow yang meninggal dunia Selasa lalu, akan diserahkan kepada dana amanah keluarga buat masa ini.
Mendiang memegang 23.4% pegangan dalam bank tersebut, yang mana harga pada harga penutupan RM4.40 sesaham menjadikan kumpulan perbankan itu bernilai RM19.9 bilion.
Firma itu menyifatkan pemergiannya adalah satu kehilangan besar dalam ikon industri perbankan dengan mendiang turut memastikan pengurusan kumpulan dipimpin individu yang berkeupayaan membawa Public Bank kepada pertumbuhan seterusnya.
Public Bank kini diterajui Lai Wan, 79 sebagai Pengerusi manakala Tan Sri Tay Ah Lek, 79 sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif dan Datuk Chang Kat Kam, 67, sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif.
"Saham Public Bank diniagakan pada nisbah harga berbanding nilai perusahaan tertinggi dalam sejarah bagi sektor perbankan, diperkukuhkan lagi dari segi pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang juga tertinggi dalam industri.
"Oleh itu, sebarang usaha penggabungan dan penggabungan (M&A) yang dipertimbangkan akan menelan kos yang tinggi membabitkan mana-mana pihak di dalam negara yang mahu berbuat demikian," katanya dalam nota kajian.
Baca : Public Bank in good hands, a change in shareholdings structure in the offing
Pada Selasa, Public Bank mengumumkan pengasas dan pengerusi emeritus, pengarah dan penasihat, Hong Piow telah meninggal dunia pada usia 92 tahun.
Pada 6 Ogos 1966, Public Bank memulakan perniagaannya di cawangan pertama yang terletak di Jalan Gereja, Kuala Lumpur.
Public Bank telah disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) pada 6 April 1967.
Selain mendiang, dua lagi pemegang saham terbesar Public Bank adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu sebanyak 14.5% dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sebanyak 4.1%.
Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Public Bank dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5 sesaham.
Setakat 12.22 tengah hari, harga sahamnya menokok 4 sen atau 0.92% kepada RM4.39 dengan 3.41 juta saham diniagakan. -DagangNews.com








