Cukai Makmur dilihat tidak 'mesra' pasaran, KLCI menjunam 31.39 mata   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cukai Makmur dilihat tidak 'mesra' pasaran, KLCI menjunam 31.39 mata  


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Dagangan hari pertama November berakhir suram setelah indeks utama menjunam lebih 30 mata petang ini susulan cadangan kerajaan melaksanakan Cukai Makmur dan juga kenaikan duti setem bagi dagangan saham di Bursa Malaysia. 

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI berakhir 31.39 mata atau 2.01% lebih rendah kepada 1,530.92 mata berbanding penutupan Jumaat, 1,562.31 mata. 

 

Keseluruhan pasaran pula adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung hampir pada 996 berbanding 178. Sebanyak 327 kaunter tidak berubah manakala 773 kaunter tidak diniagakan. 

 

Sebanyak 3.47 bilion saham diniagakan hari ini bernilai RM3.23 bilion berbanding 3.03 bilion saham bernilai RM2.35 bilion pada Jumaat lalu.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.

 

Ini membolehkan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.

 

Kerajaan mengambil langkah ini memandangkan krisis pandemik COVID-19 telah meningkatkan keperluan untuk membiayai golongan rakyat yang terjejas. 

 

Dalam nota kajian hari ini, CGS-CIMB mengenalpasti 9 sektor utama yang paling terjejas akibat pelaksanaan tersebut terutamanya perbankan, minuman keras, tembakau, utiliti, sarung tangan getah, telekomunikasi, automotif, minyak sawit dan teknologi.  

 

Berdasarkan anggaran kasar firma tersebut yang dijalankan ke atas struktur cukai dan korporat komponen utama FBM KLCI mendapati, cadangan berkenaan akan mengurangkan unjuran pendapatan bagi 2022 sebanyak RM4.4 bilion atau 6.6%.

 

Sementara itu, Public Investment Bank Research berkata, keputusan untuk menaikkan duti setem dalam nota kontrak dagangan saham mungkin semakin memburukkan keadaan pasaran.

 

Dalam penutupan petang ini, kaunter berkaitan perbankan antara yang terjejas dengan cadangan Cukai Makmur yang menyaksikan Hong Leong Bank susut 50 sen kepada RM17.96 diikuti RHB Bank susut 25 sen kepada RM5.33, CIMB susut 18 sen kepada RM5.04 dan Maybank susut 6 sen kepada RM7.99.

 

Selain itu, AMMB juga susut 14 sen kepada RM3.22 manakala Alliance susut 6 sen kepada RM2.69 dan Public Bank susut 13 sen kepada RM4.04. 
 

 

Bagaimanapun, dagangan kaunter rugi didahului dengan saham Malaysian Pacific Industries (MPI) yang susut RM1.22 kepada RM46.46 diikuti Nestle susut RM1 kepada RM133.50. 

 

Turut mendahului kaunter rugi termasuklah saham Bursa Malaysia yang terjejas akibat kenaikan duti setem dalam nota kontrak bagi dagangan saham, dengan harga sahamnya susut 42 sen kepada RM7.09. 

 

Sebaliknya, saham BSL Corp, mendahului dagangan kaunter untung dengan menokok 41 sen kepada RM2.75 diikuti Petronas Dagangan menokok 32 sen kepada RM20.68. 

 

Bagi kaunter aktif, saham AirAsia X paling rancak diniagakan sepanjang hari ini selepas syarikat itu diklasifikasi sebagai Nota Amalan 17 (PN17). Harga sahamnya susut 2 sen kepada 7.5 sen dengan 98.67 juta saham diniagakan. - DagangNews.com