CTOS, iBilik.com bentuk kerjasama tambah baik pasaran sewa hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CTOS, iBilik.com bentuk kerjasama tambah baik pasaran sewa hartanah

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - CTOS Data Systems Sdn. Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan iBilik.com bagi penyewaan bilik, rumah inap dan sewaan jangka pendek.

 

MoU yang ditandatangani baru-baru ini akan memudahkan proses penapisan tuan rumah dan penyewa yang sah dengan mengintegrasikan beberapa produk CTOS ke dalam platform iBilik.com seperti CTOS eKYC penyelesaian suai tugas digital, laporan CTOS dan pemeriksaan penyewa CTOS.

 

Kerjasama ini juga dapat melihat iBilik.com menyumbang sejarah pembayaran penyewa kepada CTOS untuk mempamerkan sikap pembayaran segera yang lebih baik dan membantu meminimumkan isu fail nipis. 

 

Dengan sebahagian besar penyewa iBilik.com terdiri daripada pelajar dan penyewa muda, rekod pembayaran sewa yang positif dapat membantu mereka membina sejarah kredit untuk mendapatkan akses kepada kemudahan kredit. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Berhad, Erick Hamburger berkata, perkongsian ini memberi sekuriti tambahan yang amat diperlukan oleh para penyewa dan tuan rumah. 

 

"Dari perspektif yang lebih besar, kerjasama ini juga memberi pengguna satu laluan baru untuk meningkatkan profil kredit dan seterusnya dapat mengurangkan bilangan warga Malaysia yang bergelut untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan disebabkan kekurangan sejarah kredit. 

 

"Di CTOS, kami sentiasa mencari jalan baru untuk mendemonstrasikan sikap kewangan yang bertanggungjawab supaya peminjam dapat memberikan pinjaman kredit kepada lebih ramai pengguna dengan yakin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

ctos

 

Ketua Pegawai Eksekutif iBilik.com, Lee Seng Hee pula berkata, untuk menjadi pilihan utama pelanggan, mereka sentiasa membuat pembaharuan untuk mentakrifkan semula mutu dalam industri. 

 

"Dengan memastikan proses penyewaan adalah cepat, mudah dan lebih selamat dengan penyertaan servis CTOS, kami bukan sahaja boleh berharap untuk menyediakan khidmat kepada tuan rumah dan penyewa malah juga kepada mereka yang sebelum ini enggan untuk menyewakan hartanah mereka disebabkan risiko-risiko yang berkaitan. 

 

"Dengan kerjasama ini, lot kami membolehkan sistem pengurusan sewa dari awal hingga akhir menjadi lebih lancar," katanya.

 

 

ctos
(Dari kiri) Ketua Pegawai Strategi iBilik, Eason Tee, Lee Seng Hee, Erick Hamburger dan Ketua Pegawai Operasi Sistem Data, Tracy Gan pada majlis menandatangani MoU antara CTOS dan iBilik.

 

 

Pandemik dan pendigitalisan ekonomi secara besar-besaran sejak beberapa tahun ini telah mengakibatkan sebahagian besar pencarian rumah dibuat secara dalam talian dan menyebabkan timbulnya masalah-masalah baru. 

 

Laporan berita terkini menunjukkan bahawa penipuan melibatkan hartanah yang tidak sah untuk disewa kian meningkat dan negara Malaysia sememangnya mempunyai masalah tuan rumah yang enggan memberi sewa hartanah mereka kerana bimbang akan kegagalan membuat pembayaran atau bimbang akan kerosakan yang dilakukan oleh penyewa.

 

Perintegrasian CTOS eKYC akan meredakan kebimbangan ini kerana kedua-dua penyewa dan tuan rumah akan mendapat kepastian bahawa individu yang berurusan dengan mereka telah disahkan sebagai sah dan laporan kredit CTOS akan membenarkan tuan rumah untuk menapis bakal penyewa dan menyemak kebolehan mereka untuk membuat bayaran sewa secara berterusan. - DagangNews.com