COVID-19: Kerajaan perlu timbang hentikan konsolidasi fiskal | DagangNews Skip to main content

COVID-19: Kerajaan perlu timbang hentikan konsolidasi fiskal

Pemulihan ekonomi Malaysia bergantung kepada keupayaan rakyat mematuhi SOP penjarakan sosial COVID-19. - Gambar SYAHRIN YEN ZAINI/ DAGANGNEWS

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Mengambil kira cabaran pandemik COVID-19 yang belum pernah dialami sebelum ini, serta kesan jangka panjang ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, kerajaan harus mempertimbangkan sama ada konsolidasi fiskal boleh dihentikan buat sementara waktu.

PNB Research Institute dalam ulasan terbaharu menyatakan, secara perbandingan, suntikan fiskal secara langsung bagi Malaysia untuk program rangsangan ekonomi berjumlah kira-kira 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jumlah tersebut adalah rendah berbanding hampir 10% daripada KDNK bagi negara-negara seperti Jerman, Jepun, Thailand, dan United Kingdom.

``Memandangkan tekanan inflasi yang agak rendah dan syarat perundangan yang boleh diubah, kerajaan mempunyai ruang untuk meningkatkan dana melalui pasaran terbuka dan pelbagai kaedah lain,’’ katanya.

pnb

Sebelum ini ujarnya, BNM telah memberikan isyarat untuk menambah kecairan dalam sistem pasaran dengan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 1.75%, iaitu kadar terendah pernah diambil.

Sehubungan itu, kerajaan hendaklah melakukan perbelanjaan fiskal tambahan ke arah pengukuhan sistem perlindungan sosial di Malaysia, program pemulihan peluang pekerjaan bagi sektor paling terjejas, dan pelaburan awam dalam penjagaan kesihatan serta pendidikan adalah sangat diperlukan.

PNB Research Institute menambah, walaupun langkah-langkah yang telah diambil sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesan negatif terhadap ekonomi negara, masih terdapat beberapa tindakan tambahan yang perlu dilakukan.

Satu kaji selidik yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terhadap kesan COVID-19 kepada firma-firma perniagaan mendapati hampir 70% daripada responden melaporkan tiada sebarang jualan atau hasil dicatatkan sepanjang tempoh PKP, manakala 42.5% memerlukan masa lebih dari enam bulan untuk pulih.

``Selain itu, perkara yang turut membimbangkan ialah kebergantungan kepada insentif seperti subsidi upah dan moratorium pinjaman yang akan tamat dalam tempoh kurang enam bulan,’’ katanya.

Menurut PNB Research Institute, pemulihan ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada kejayaan mengelakkan gangguan aktiviti ekonomi disebabkan oleh peningkatan semula kes COVID-19.

Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), ekonomi sesebuah negara dianggarkan kehilangan 2% pertumbuhan KDNK bagi setiap tempoh sebulan kawalan pergerakan.

``Jika kita semua memainkan peranan masing-masing dalam memastikan bahawa lekuk Covid-19 kekal rata, pertumbuhan dan pemulihan ekonomi pasti akan menyusul,’’ katanya. – DagangNews.com