Complete Logistic cadang laksana langkah korporat, mahu berkembang dalam industri ICT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Complete Logistic cadang laksana langkah korporat, mahu berkembang dalam industri ICT

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Mac -  Complete Logistic Services Bhd. (CLSB) bercadang untuk menukar nama syarikat kepada Hextar Technologies Solutions Bhd. bagi membolehkannya berkembang dalam perniagaan teknologi. 

 

Malah, kumpulan turut melupuskan keseluruhan pegangannya dalam Classic Scenic Bhd. pada harga RM32.04 juta kepada pemegang saham majoritinya Datuk Eddie Ong Choo Meng, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Jelasnya, terdapat keperluan untuk mempelbagaikan perniagaan dalam perkhidmatan dan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membolehkannya meraih sumber hasil alternatif dan mengurangkan risiko dengan bergantung kepada perniagaan logistik sedia ada.

 

"Berikutan pelantikan Datuk Seri Gey Ka Hong, yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam industri ICT sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan, kami berhasrat untuk memanfaatkan pengetahuannya untuk meneroka perniagaan teknologi ini.

 

"Perniagaan baharu ini dijangka menjana tambahan pendapatan kepada kumpulan, selain mempelbagaikan dan memperluaskan lagi asas pendapatan kumpulan," katanya.

 

Cadangan kepelbagaian itu memerlukan kelulusan pemegang sahamnya pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang. 

 

Ini kerana kumpulan menjangkakan sama ada mengalihkan 25% atau lebih daripada aset bersihnya kepada perniagaan teknologi atau menerima 25% atau lebih keuntungan bersihnya daripada bahagian baharu itu.

 

Dalam pada itu, CLSB juga akan melupuskan keseluruhan pegangan dalam Classic Scenic kepada Choo Meng dengan nilai RM32.04 juga. 

 

Langkah ini dilaksanakan berasaskan willing buyer-willing seller pada nilai 76 sen sesaham bagi 36 juta saham baharu atau 14.94% pegangan dan 26 sen sesaham untuk 18 juta waran.

 

Sebelum ini, CLSB memperoleh pegangan dalam Classic Scenic pada nilai RM39.34 juta pada RM1.64 sesaham pada 16 Mac 2021 daripada Lim Ket Leng Holding Sdn. Bhd.

 

Classic Scenic merupakan syarikat pegangan pelaburan manakala anak-anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam pembuatan dan penjualan acuan bingkai gambar kayu dan produk kayu lain. Pasaran utamanya termasuklah Amerika Utara, Australia dan Malaysia.

 

Kumpulan menjangkakan akan meraih keuntungan sekali sahaja sebanyak RM2.65 juta daripada penjualan itu.

 

Menurut CLSB, ebanyak RM31.64 juta daripada hasil jualan akan digunakan untuk peluang pelaburan masa hadapan atau pengeluaran dividen khas dalam tempoh 24 bulan, manakala RM400,000 akan digunakan untuk membayar perbelanjaan yang dijangkakan untuk cadangan dalam tempoh satu bulan.

 

Ia berkata, cadangan kepelbagaian ini akan menyaksikan hasil dalam perniagaan teras yang pelbagai dengan penyertaan perniagaan teknologi.

 

"Kumpulan akan berdepan cabaran dan risiko baharu daripada penglibatan dalam perniagaan baharu ini kerana tidak mempunyai pengalaman sebelum ini, tetapi ia boleh diatasi dengan memanfaatkan pengalaman daripada Ka Hong.

 

"Oleh itu, operasi perniagaan ini akan bergantung kepada keupayaannya, kepakaran dan usaha berterusan daripada beliau," jelasnya.

 

Mengenai prospek CLSB, kumpulan berkata, dengan imej yang diperbaharui cadangan perubahan nama dan penyertaan dalam perniagaan teknologi dijangka membina reputasi kumpulan yang diperbesarkan dalam industri ICT.

 

"Setelah cadangan ini dimuktamadkan, kumpulan akan terus mencari usaha niaga yang berdaya maju dalam perniagaan teknologi," katanya. - DagangNews.com