KUALA LUMPUR 12 Okt - Peneraju Salun Penjagaan Rambut, COCOdry bekerjasama dengan platform e-dagang gaya hidup pengguna terkemuka, Oxwhite mengumpul sebanyak RM15,900 untuk disalurkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) sempena bulan 'Pink Oktober'.
Menerusi kerjasama ini, COCOdry tampil mengeluarkan set rekaan pakaian kasual wanita edisi terhad yang diilhamkan oleh jenama persatuan dengan beberapa bekas penghidap kanser payudara, manakala Oxwhite pula bertindak membiayai pengeluaran 100 set pakaian berkenaan.
Set pakaian kasual itu akan dijual di laman web COCOdry dan di kedua-dua cawangan mereka di COCOdry Bangsar dan COCOdry Publika.
Selain itu, semua keuntungan untuk set pakaian kasual yang dijual pada harga RM159 itu akan disalurkan kepada NCSM bagi menyokong usaha NCSM dalam menyediakan pendidikan, penjagaan dan perkhidmatan sokongan untuk individu yang terjejas dengan kanser.
Pengasas COCOdry, Kim May Chee berkata, kempen itu diilhamkan menerusi pertemuan jenama itu bersama seorang bekas pesakit kanser payudara, Hiba Abdul Rahman yang ditemui menerusi NCSM.
Beliau berkata, pihaknya terlibat dalam satu pelancaran program kecantikan dan kesihatan mereka dan mendapat keistimewaan untuk mendekatkan diri serta membina hubungan persahabatan dengan beberapa bekas pesakit kanser.
"Ia turut membuka ruang untuk mendekati mereka dan turut sudi berkongsi cerita berkenaan bagaimana kehidupan mereka mula berubah ketika mahu melawan penyakit itu.
"Kebanyakan daripada mereka bergelut dengan kehilangan rasa normal mereka, berasa terasing pada kebanyakan hari dan tidak dapat lagi menjadi diri mereka sendiri. Kanser payudara bukan sahaja menjejaskan rutin harian mereka, malah memberi kesan kepada lingkungan sosial dan masa berkualiti mereka bersama insan tersayang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kim, beberapa bekas pesakit kanser turut menjauhkan diri daripada persahabatan dan orang tersayang kerana sukar untuk kedua-dua pihak bercakap mengenai penyakit itu.
"Selain itu, rawatan untuk kanser payudara yang berpanjangan telah mengubah bentuk badan mereka dan kebanyakan daripada mereka seolah-olah merasai seperti kehilangan hubungan dengan nilai kewanitaan mereka serta hilang keyakinan secara keseluruhan," katanya.
Sementara itu, Pengasas Oxwhite, CK Changr pula berkata, jenama itu sehingga kini mempunyai komuniti seramai 350,000 yang mana sebanyak 56% daripadanya terdiri daripada wanita.
“Sebagai jenama yang disokong wanita, kami mahu menjadi rakan kerjasama kepada usaha murni itu memandangkan kanser payudara menjejaskan satu daripada 19 wanita," katanya. - DagangNews.com







