Coca-Cola, foodpanda bekerjasama sumbang bantuan makanan kepada golongan memerlukan  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Coca-Cola, foodpanda bekerjasama sumbang bantuan makanan kepada golongan memerlukan 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Coca-Cola Malaysia bekerjasama dengan foodpanda Malaysia bagi menyemarakkan semangat Ramadan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan bersama sepanjang bulan mulia ini. 

 

Di bawah inisiatif ini, sumbangan makanan akan disalurkan kepada Pertiwi Soup Kitchen yang menyediakan perkhidmatan bantuan makanan kepada masyarakat kurang berkemampuan di ibu kota.

 

Pengarah Pemasaran Barisan Hadapan Coca-Cola, Rina Surya berkata, pihaknya gembira bekerjasama dengan foodpanda Malaysia menerusi kempen ‘Berkat Ramadan’ dan bersama-sama menyokong usaha Pertiwi Soup Kitchen meringankan beban mereka yang memerlukan. 

 

Katanya, selaras dengan falsafah jenama ‘Real Magic’, pihaknya berharap membawa kegembiraan kepada masyarakat dalam bandar yang serba kekurangan, terutamanya semasa tempoh serba mencabar ketika ini.

 

"Kami ingin mengajak semua rakyat Malaysia untuk menyertai kami dalam inisiatif yang amat bermakna ini dan menyumbang bagi membantu dan menyantuni masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pengarah Pemasaran foodpanda Malaysia, Bernard Chong pula berkata, pihaknya tidak pernah lupa masih terdapat ramai antara yang tinggal di bandar hidup dalam keadaan serba kekurangan. 

 

"Rakan-rakan muslim akan berpuasa dan mengawal nafsu semasa bulan Ramadan, tetapi masyarakat asnaf yang dibantu Pertiwi Soup Kitchen ini berlapar setiap hari sepanjang tahun. 

 

"Kami amat berbesar hati kerana Coca-Cola Malaysia percaya dengan usaha kami dan sudi untuk bersama-sama dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat kita," katanya.

 

Dari 23 Mac hingga 21 April 2023, untuk setiap pesanan yang dibuat oleh rakyat Malaysia melalui aplikasi dan laman web foodpanda menggunakan kod promosi ‘PANDA’, foodpanda akan mendermakan satu hidangan makanan kepada Pertiwi Soup Kitchen. 

 

Coca-Cola juga akan menyediakan penajaan produk yang mana setiap hidangan disumbangkan, disertakan dengan minuman Coke dan air mineral Dasani. - DagangNews.com