Citaglobal, PT Industri Baterai Indonesia lanjutkan setahun lagi MoU bangunkan kilang pembuatan sel bateri, BESS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Citaglobal, PT Industri Baterai Indonesia lanjutkan setahun lagi MoU bangunkan kilang pembuatan sel bateri, BESS

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Jan - Citaglobal Berhad dan PT Industri Baterai Indonesia or Indonesia Battery Corporation (IBC) bersetuju melanjutkan setahun lagi terma-terma perjanjian persefahaman (MoU) berkuatkuasa hari ini, bagi pembangunan kilang pembuatan sel bateri dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

 

"Lembaga Pengarah ingin mengumumkan bahawa semua pihak telah saling bersetuju dengan surat tambahan MoU bertarikh 5 Januari 2024 untuk memperluaskan terma MOU bagi tempoh 1 tahun bermula pada 8 Januari 2024 hingga 7 Januari 2025 (termasuk) bagi memberikan semua pihak masa tambahan untuk merealisasikan kerjasama.

 

"Pihak -pihak dalam perbincangan aktif untuk memuktamadkan beberapa projek yang dikenal pasti berkenaan dengan kerjasama," kata Citaglobal dalam maklumannya di Bursa Malaysia. 

 

Citaglobal Berhad memeterai MoU dengan PT Industri Baterai Indonesia or Indonesia Battery Corporation (IBC) pada 9 Januari 2023, bagi pembangunan kilang pembuatan sel bateri dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

 

citaglobal
Majlis pemeteraian MoU itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia pada 9 Januari 2023.

 

Terdapat tiga prinsip utama dalam kerjasama itu merangkumi pembangunan, reka bentuk dan pembinaan kemudahan pengilangan bina pasang siap (turnkey) bersepadu untuk sel bateri, modul dan pembungkusan; pembangunan penyelesaian bersepadu BESS serta pemindahan teknologi dan pengetahuan berkaitan untuk pembangunan kilang bateri dan BESS.

 

Pelaksanaan MOU itu merupakan sesuatu yang positif bagi rancangan strategik dan fokus untuk berkembang dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Buat masa sekarang, pasaran global untuk kenderaan elektrik berkembang secara berterusan pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 21.7%. 

 

Bateri adalah salah satu komponen utama untuk kenderaan elektrik, membentuk kira-kira 35% daripada kos ini pada masa ini.

 

IBC ditubuhkan oleh empat perusahaan milik Indonesia (PT Aneka Tambang Tbk (ANTAM), Industri Perlombongan Indonesia (MIND ID), Perusahaan Listrik Negara (PLN) dan PT Pertamina) dan beribu pejabat di Jakarta dengan visi memaksimumkan sumber asli Indonesia melalui pembangunan kenderaan elektrik bateri dan ekosistem industri bateri di Indonesia. - DagangNews.com