CIMB catat untung RM2.1 bilion pada suku pertama di sebalik cabaran operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB catat untung RM2.1 bilion pada suku pertama di sebalik cabaran operasi

KUALA LUMPUR 31 Mei - CIMB Group Holdings Bhd. merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) teras sebanyak RM2.1 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat 17.5% daripada RM1.79 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan mengekalkan keuntungan operasi pra-peruntukan terasnya (PPOP) bagi tahun ke tahun mencecah RM2.51 bilion manakala keuntungan bersih teras meningkat secara positif sebanyak 16 tahun ke tahun kepada RM1.55 bilion.

 

Pendapatan operasi teras pada suku pertama itu bagaimanapun mendatar tahun ke tahun tetapi meningkat 2.9% suku ke suku kepada RM4.74 bilion.

 

Daripada jumlah ini, pendapatan faedah bersih (NII) meningkat 3.8% tahun ke tahun kepada RM3.55 bilion, walaupun margin faedah bersih (NIM) lebih rendah sedikit sebanyak 2.45% disebabkan terutamanya operasi perniagaan kumpulan di Indonesia.

 

Pendapatan bukan faedah teras (NOII) pula merosot sebanyak 10.9% tahun ke tahun kepada RM1.19 bilion disebabkan pelaburan global yang lebih lemah. 

 

Pertumbuhan pinjaman meraih semula momentum, meningkat 4.9% tahun ke tahun berikutan pemulihan ekonomi yang memberi kesan positif kepada kebanyakan pasaran dan segmen, terutamanya dalam perbankan pengguna di mana pinjaman berkembang 6.9%.

 

Selain itu, deposit juga meningkat 7% dipacu pertumbuhan akaun simpanan akaun semasa (CASA) yang kukuh sebanyak 9.9% tahun ke tahun, yang mencerminkan peningkatan nisbah CASA daripada 42.3% yang direkodkan pada Mac 2021 kepada 43.5% pada Mac 2022.

 

Berdasarkan laporan yang merangkumi item luar biasa tidak berulang sekali sahaja, pendapatan operasi kumpulan CIMB dan keuntungan bersih masing-masing merosot sebanyak 19.8% dan 41.9% tahun ke tahun kepada RM4.74 bilion dan RM1.43 bilion.

 

Penurunan itu terutamanya disebabkan keuntungan penilaian semula sebanyak RM1.16 bilion daripada penyahgabungan TNG Digital pada suku pertama 2021 serta kesan Cukai Makmur pada suku pertama 2022.

 

Bagi perbandingan suku ke suku, CIMB merekodkan prestasi yang lebih kukuh dengan pendapatan operasi meningkat 3.3% kepada RM4.74 bilion manakala untung bersih meningkat 66.9% kepada RM1.43 bilion daripada RM855 juta yang direkodkan pada suku sebelumnya.

 

 

Abdul Rahman Ahmad
Datuk Abdul Rahman Ahmad

 

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, prestasi kukuh yang dilihat pada suku pertama adalah gambaran positif pemulihan ekonomi di seluruh pasaran operasi serta momentum yang semakin meningkat dalam semua segmen perniagaan.

 

"Ini dicapai walaupun dalam persekitaran pelaburan yang mencabar apabila dunia menyesuaikan diri dengan perkembangan geopolitik yang telah mewujudkan halangan makroekonomi dan ketidaktentuan pasaran kewangan," katanya.

 

Menurut beliau, kumpulan kekal optimis bagi 2022 dengan mengambil kira pemulihan ekonomi di peringkat serantau dan permintaan domestik yang semakin berkembang. 

 

Bagaimanapun, katanya, kumpulan kekal berhati-hati terhadap peningkatan risiko pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan berikutan kesan tekanan inflasi dan ketidaktentuan geopolitik.

 

"Kami akan terus berada di landasan yang betul dengan pelan strategik Forward23+ untuk mengukuhkan kedudukan CIMB sebagai bank ASEAN tertumpu terkemuka, di samping membina momentum positif pertumbuhan aset, membendung peningkatan kos dan meningkatkan kualiti aset untuk memberikan pulangan kewangan yang mampan," jelasnya. - DagangNews.com